KOTA KINABALU, 11 Nov — Calon Bebas di kerusi Parlimen Tenom, Riduan Rubin, disahkan menyertai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), hari ini.

Presiden KDM, Datuk Peter Anthony, berkata Riduan akan kekal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai calon Bebas, namun dibantu jentera parti itu.

“Tiada logo, bendera atau apa-apa simbol KDM digunakan (untuk kempen Riduan) pada PRU15 ini di Tenom,” katanya ringkas ketika dihubungi.

Terdahulu laman Facebook rasmi KDM berkongsi gambar-gambar Riduan yang menggunakan lambang, menyerahkan borang menyertai parti itu kepada Peter yang mendapat sokongan padu ahli parti dalam laman sosial itu.

Pencalonan Peter untuk bertanding di Parlimen Tenom pada penamaan calon 5 Nov lepas ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyebabkan kekecohan dalam kalangan penyokong KDM di pusat penamaan itu.

Tenom menyaksikan persaingan lima penjuru antara penyandangnya Noorita Sual daripada Pakatan Harapan (PH), Jamawi Jaafar (Barisan Nasional-BN), Ukim Buandi (Warisan) serta dua calon Bebas iaitu Riduan dan Peggy Chaw Zhi Ting.

Sementara itu, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Kemabong dari Bersatu, Datuk Rubin Balang, yang didakwanya menjadi dalang kepada tindakan anaknya, Riduan bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Tenom.

Beliau juga mendakwa Rubin adalah dalang dalam penyertaan Riduan yang juga ahli Bersatu ke dalam KDM.

Katanya, tindakan itu melanggar kerjasama GRS-BN dan tindakan disiplin wajar diambil termasuk menamatkan pelantikan mereka dalam apa-apa jawatan di agensi atau syarikat berkaitan kerajaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here