KUALA LUMPUR, 14 Nov — Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya kembali rancak digunakan penumpang hari ini selepas lima hari digantung operasi akibat mengalami gangguan sejak Rabu lepas.

Tinjauan Bernama di beberapa stesen termasuk di Masjid Jamek dan Ara Damansara mendapati pengguna masih selesa menggunakan perkhidmatan itu namun berharap usaha penambahbaikan dibuat pada masa depan bagi mengelakkan gangguan berulang.

Guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA), Hazwani Abdul Hamid, 25, berkata sejak perkhidmatan tergendala Rabu lepas, dia menggunakan bas untuk bergerak dari rumahnya di Taman Melewar, Gombak ke tempat kerja di Sekolah Kebangsaan Sultan Hisamuddin Alam Shah di sini.

Keadaan itu menyebabkannya menghabiskan masa antara satu hingga dua jam untuk perjalanan pergi dan balik berbanding hanya 25 minit sekiranya menggunakan LRT.

“Apabila perkhidmatan LRT pulih saya gembira cuma berharap ada penambahbaikan dibuat selepas ini terutama berhubung pemakluman awal gangguan kerana pernah sekali ketika berada di dalam, tren berhenti mengejut menyebabkan ramai penumpang berasa cemas dengan keselamatan masing-masing,” katanya ketika ditemui Bernama.

Pembantu restoran Nor Amini Nadirah Azahari, 19, pula berkata LRT adalah mod pengangkutan utamanya untuk urusan harian dan sebarang gangguan akan menyebabkannya mengeluarkan belanja yang besar untuk bergerak ke satu destinasi.

“Saya bekerja di stesen LRT Masjid Jamek tapi kadang kala akan pergi ke Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics di Taman Maluri, Cheras untuk menghadiri kelas. Bayangkan bagaimana saya terkejar-kejar dan perlu pula berdepan dengan masalah (gangguan) LRT,” kata pelajar separuh masa jurusan Pendidikan Awal Kanak-kanak itu. 

Turut senada dengannya pelajar Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS, Muhd Aiman Shahrul Nizam, 20, yang berharap ini adalah kali terakhir perkhidmatan LRT laluan berkenaan mengalami gangguan. 

“Bukan apa, selalu sangat perkhidmatan laluan Kelana Jaya ini terganggu dan bila bermasalah pengumuman tidak dibuat awal sedangkan ia perlu untuk memudahkan kita merancang laluan alternatif terutama pada waktu puncak yang sesak,” katanya yang berulang alik menggunakan LRT dari Kampung Baru ke kolejnya di pusat bandar di sini. 

Media sebelum ini melaporkan, sejumlah 16 stesen LRT dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park digantung operasi selama tujuh hari bermula 9 hingga 15 Nov susulan gangguan komponen elektronik pada sistem Kawalan Tren Automatik (ATC).

Namun Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong semalam memaklumkan perkhidmatan itu beroperasi semula hari ini, dua hari lebih awal daripada jangkaan, selain turut mengumumkan pampasan tiket selama tujuh hari kepada pengguna terjejas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here