KUALA LUMPUR, 13 Nov beh– Polis mengesan beberapa pelanggaran undang-undang lalu lintas berlaku dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) melibatkan sebuah parti politik di Taman Koperasi Polis Fasa 2, Batu Caves, di sini, hari ini.

Ini berikutan tular satu video di media sosial memaparkan beberapa individu menunggang skuter elekrik secara berkumpulan, selain ada peserta dikesan duduk di bahagian belakang kenderaan pacuan empat roda.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata video berkenaan dikesan pada 2.22 petang tadi, semasa kempen pilihan raya berlangsung di kawasan Parlimen Batu.

Beliau berkata ia telah melanggar Peraturan 42 Kaedah Lalu lintas 1959 (LN166/19596) kerana penunggang dikehendaki menunggang dalam satu barisan sahaja di atas jalan.

“Perbuatan itu boleh diambil tindakan di bawah Peraturan 92 Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959 (LN170/1959),” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beh berkata polis juga akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 15 Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap dua buah kenderaan ‘buggy’, jika didapati tidak memiliki cukai jalan atau kebenaran daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Rakaman video itu memaparkan dua kereta buggy dan beberapa skuter elektrik digunakan di atas jalan raya ketika kempen itu berlangsung,” katanya.

Beh berkata semakan mendapati parti yang terbabit dalam kempen tersebut memiliki permit perjumpaan awam terbuka yang sah daripada Ketua Polis Daerah Sentul, dan kempen berlangsung kira-kira 9 pagi tadi di taman berkenaan.

“Semua parti politik yang terbabit dalam kempen PRU15 diingatkan untuk sentiasa mematuhi undang-undang sepanjang tempoh berkempen. Polis tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here