KEPALA BATAS, 14 Nov — Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata BN perlu mempertahankan kerusi itu dengan majoriti lebih besar agar dapat menyumbang kepada pembentukan kerajaan yang lebih stabil.

Walaupun enggan mendabik dada mengenai peluangnya mempertahankan kerusi itu, namun Reezal Merican tetap yakin pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini, akan memberi peluang kepadanya untuk menjadi wakil rakyat kawasan itu buat penggal ketiga.

Pada PRU14, Reezal Merican memperoleh majoriti 4,736 undi untuk menewaskan calon PKR, Dr Zaidi Zakaria dan calon PAS,  Dr Siti Mastura Muhammad.

“ Pola pengundian golongan muda buat pertama kali pada PRU15 akan memainkan peranan yang kritikal dalam memilih wakil rakyat pada kali ini,” katanya pada sesi bersama media di Wisma UMNO Kepala Batas, di sini, hari ini.

 Reezal Merican, yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata beliau telah berikrar untuk memberi 30 peratus daripada peruntukan Parlimen untuk pembangunan wanita kawasan itu sekiranya dia menang pada PRU15.

Pada PRU15, Reezal Merican akan menghadapi saingan empat penjuru menentang Danial Abdul Majeed daripada Pakatan Harapan (PH), Dr Siti Mastura Muhammad (PN) dan Hamidi Abu Hassan (Pejuang).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here