PORT DICKSON, 15 Nov — Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan optimis mampu mempertahankan lima kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dikuasai parti gabungan itu berdasarkan perkembangan baik sepanjang hampir dua minggu kempen berlangsung.

Pengerusinya yang juga calon parti itu di kerusi Parlimen Port Dickson Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pihaknya juga yakin boleh merampas dua lagi kerusi Parlimen di negeri itu menerusi usaha dan gerak kerja yang sistematik jentera parti selain sokongan padu rakyat.

“Alhamdulillah kita lihat sokongan (orang ramai) menarik dan saya harap ia berkekalan hingga hari mengundi, kita cuba teruskan kempen walaupun ramai (ramal) bacaan (tertentu) tapi saya tetap turun temui (pengundi) dan harap mereka keluar undi PH.

“Saya pun turun ke Rembau, Kuala Pilah, Tampin dan Seremban, saya rasakan bahawa kita masih boleh pertahan lima kerusi sedia ada dan cuba dua kerusi lagi. Kita lihat sokongan meningkat dari hari ke hari,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal di Kem Segenting di sini hari ini.

Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata jentera parti juga ketika ini sedang meningkatkan usaha berkempen dengan lebih berkesan dalam meraih sokongan pengundi terhadap PH terutama, berbaki beberapa hari menjelang PRU15.

Pada PRU14, PH Negeri Sembilan memenangi lima daripada lapan kerusi Parlimen iaitu Seremban, Rasah, Port Dickson, Tampin, Kuala Pilah (sebelum Bersatu keluar gabungan itu) selain menguasai 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus berjaya membentuk kerajaan negeri.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini juga berkeyakinan BN mampu merampas kembali kerusi Parlimen Tampin dan Kuala Pilah selain menguasai Port Dickson pada PRU15.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 19 Nov ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here