IPOH, 15 Nov — Ketua UMNO bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa menegaskan bahawa parti itu sentiasa melakukan perubahan dengan mengetengahkan pemimpin-pemimpin muda untuk mengambil alih kepimpinan parti.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata walaupun UMNO mempunyai beberapa peratus pemimpin kanan, parti itu juga meletakkan 80 peratus muka baharu berbanding parti politik lain, menjadikan UMNO dengan calon pemimpin muda paling ramai pada Pilihan Raya Umum ke-15.

“Itu pun sudah peremajaan. UMNO sebuah parti dinamik. Bila JK kata peremajaan, saya rasa ia satu kenyataan yang sesuai dan ia menunjukkan bahawa UMNO sentiasa berusaha untuk merubah dirinya,” katanya.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa (tiga, kanan) bersama jentera UMNO di Pejabat UMNO Bahagian Tambun hari ini. Turut hadir calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Tambun Datuk Aminuddin Md Hanafiah (dua, kanan), calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.24 Hulu Kinta Datuk Mazlan Abd Rahman (empat, kiri) dan calon BN N.23 Manjoi, Datuk Azizul Kama Abd Aziz (tiga, kiri). — fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Annuar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan calon Barisan Nasional di Sungai Buloh Khairy Jamaluddin, berkaitan perubahan dalam parti bagi memenangi semula penyokongnya.

“Saya rasa nasihat itu ialah untuk semua parti politik. Saya rasa sudah sampai masa untuk Anwar juga menyerahkan kepimpinan PKR kepada Rafizi,” katanya yang juga merupakan penyandang Parlimen Ketereh.

Ditanya mengenai kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengenai penyandang kerusi Parlimen BN yang tidak dicalonkan bakal diberikan peranan penting sekiranya BN mentadbir negara, Annuar berkata tumpuan pada masa ini perlu diletakkan kepada calon yang bertanding.

“Yang bertanding itu kita kena pakat-pakat jaga, tak usah fikirkan kita yang kena gugur ini. Saya menghargai gerak isyarat Perdana Menteri, yang sebut ada peranan (untuk penyandang yang tidak dicalonkan), saya yakin sentiasa ada peranan.

“Peranan bukan bermakna pangkat, kalau nak tolong parti, nak tolong kerajaan ada macam-macam cara. Tak usah besarkan sangat soal orang yang tidak terpilih jadi calon, yang penting kita sama-sama bekerja untuk mereka yang jadi calon,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri pada Isnin dilaporkan berkata penyandang kerusi yang digugurkan akan diberikan peranan penting, sekiranya pakatan politik itu diberikan mandat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here