KUALA NERANG, 16 Nov — Gelaran ‘Yang Berkhidmat’ lebih sesuai digunakan wakil rakyat dipilih pada pilihan raya berbanding ‘Yang Berhormat’ dalam usaha menentukan perkhidmatan terbaik diberikan kepada rakyat di kawasan masing-masing.

Penyandang kerusi Parlimen Padang Terap Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata rakyat boleh menjustifikasikan wakil rakyat itu berasaskan perkhidmatan mereka yang dapat dilihat dan dinilai sepanjang tempoh wakil rakyat itu berkhidmat selepas memenangi pilihan raya.

“Ya, saya setuju juga dengan perkataan ‘Yang Berkhidmat’ itu. Saya rasa ‘Yang Berkhidmat’ lebih tepatlah sebab boleh memberi gambaran rekod perkhidmatan wakil rakyat, jadi sesuai jugalah,” katanya kepada pemberita selepas Walkabout@Kolej MARA di sini hari ini.

Sementara itu, Mahdzir yang juga Naib Presiden UMNO berkata dakwaan Pakatan Harapan (PH)  dikatakan semakin menghampiri 100 kerusi Parlimen untuk dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disifatkannya sebagai perang psikologi.

“Kita Barisan Nasional (BN) pun buat kiraan juga, di mana parti kita menang dan di mana parti kita tidak menang. Yang tidak menang kita kata tidak menanglah tempat itu. Tapi ada tempat yang kita boleh menang, jadi kiraan kita Alhamdulillah BN pun seperti mana Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebut, insya-Allah BN boleh menubuhkan kerajaan Persekutuan,” katanya.

Kelmarin, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli dalam ceramah PH di Pekan Balik Pulau, Pulau Pinang mendakwa yang parti itu yakin memperoleh 100 kerusi Parlimen ketika kempen PRU15 berbaki empat hari.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here