KUALA LUMPUR, 30 Nov — MNRB Holdings Berhad (MNRB) hari ini menganjurkan Program MNRB Bijak Menabung di Sekolah Kebangsaan (SK) Chuah, Port Dickson Negeri Sembilan, bagi memupuk budaya suka menabung dari usia muda dan mendedahkan mereka kepada pengurusan wang yang bijak.

MNRB dalam satu kenyataan ini memaklumkan, program celik kewangan itu diadakan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab korporat syarikat itu sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2022.

Menurut kenyataan MNRB itu, pelbagai aktiviti berkaitan pengurusan wang yang bijak telah diadakan untuk murid sekolah berkenaan, antaranya permainan ‘MNRB Ringgit Smart Squad’ yang memerlukan pelajar bermain secara berkumpulan dan menjawab soalan serta membuat keputusan berkaitan tabiat perbelanjaan harian, dan kepentingan menyimpan wang.

Pada program sama, MNRB yang diwakili Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Strategik Kumpulan, Rizal Mohd Zin menyerahkan sumbangan unit Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) kepada semua murid di sekolah tersebut bagi menggalakkan mereka menyimpan wang dari usia yang muda.

Unit ASNB itu diserahkan kepada Guru Besar SK Chuah Datin Maria Mohd Yusof dan disaksikan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan Misri Mistama, Naib Presiden dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan PNB Datuk Mohd Nizam Zainordin serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Family Berhad Muhammad Fikri Mohamad Rawi.

Kenyataan itu turut menyebut, sebanyak RM16,200 disumbangkan untuk menaik taraf surau dan pusat sumber sekolah berkenaan melalui anak syarikat milik penuh MNRB, Takaful Ikhlas Family Berhad bagi pemerkasaan bidang pendidikan.

“Sumbangan ini merupakan sumbangan daripada dana IKHLAS Barakah House, yang bertujuan untuk menjana pembangunan dan kelestarian masyarakat yang positif melalui bantuan kewangan dan aktiviti-aktiviti yang merangkumi penglibatan masyarakat,” menurut kenyataan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here