TANJONG MALIM, 1 Dis — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Seluhur Budi Sekalung Kasih dan melancarkan setem serta syiling komemoratif 100 tahun Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Dewan Tuanku Canselor UPSI, di sini malam ini. 

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada pukul 8.50 malam disambut oleh pihak pengurusan UPSI dan lebih 600 tetamu. 

Setem komemoratif 100 tahun UPSI merupakan hasil kerjasama universiti itu dengan Pos Malaysia sementara syiling edisi khas itu merupakan kerjasamanya dengan  Bank Negara Malaysia. 

Setem edisi khas itu mempunyai seni reka bentuk tersendiri yang menampilkan ilustrasi Bangunan Suluh Budiman yang terletak di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah sebagai monumen ikonik UPSI sementara syiling edisi khas bernilai RM1 dan RM10 mempunyai logo komemoratif 100 tahun UPSI dan logo UPSI. 

Turut berkenan berangkat ke majlis itu Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim yang juga tiba pada pukul 8.50 malam.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff. 

Md Amin dalam sembah ucapannya turut menjunjung kasih Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta Sultan Perak dan Raja Permaisuri Perak atas kesudian mencemar duli berangkat ke majlis itu. 

Majlis itu diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-100 UPSI sejak penubuhannya pada tahun 1922 bermula sebagai Sultan Idris Training College (SITC) kepada Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) pada tahun 1957 dan Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) pada tahun 1987 sebelum dinaik taraf ke UPSI pada tahun 1997.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here