PUTRAJAYA, 8 Dis — Kempen ‘NowyouSEEme 2.0’ lahir daripada sinergi kerjasama antara  Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pendidikan (KPM) dan Hibiscus Petroleum Berhad membuka peluang kepada pelajar sekolah untuk mengenali dan memahami penyakit Talasemia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kempen selama lima bulan yang diadakan sempena sambutan Hari Talasemia Sedunia 2022 itu telah disertai oleh 70 buah sekolah di seluruh negara.

“Capaian aktiviti di media sosial juga amat memberangsangkan dengan 20,000 jangkauan di Instagram dan 60,000 jangkauan di Facebook telah direkodkan. Selain itu, sebanyak 20,000 jumlah tontonan video di YouTube dan 40,000 tontonan video di TikTok telah tercapai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Majlis Penganugerahan dan Penutup Kempen ‘NowyouSEEme 2.0’ telah diadakan secara dalam talian dengan disempurnakan oleh Dr Noor Hisham dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali.

Bagi memperkukuhkan kempen kesedaran penyakit Talasemia, Dr Noor Hisham menyeru agar rakyat turut memperingkatkan kesedaran dan menjalankan ujian saringan genetik untuk mengenal pasti pembawa gen Talasemia kerana penyakit berkenaan boleh membawa kepada komplikasi kematian disebabkan kesan anemia serius.

Talasemia ialah penyakit genetik sel darah merah iaitu pesakit Talasemia tidak dapat menghasilkan sel darah merah yang berkualiti dalam kuantiti yang mencukupi.

Oleh itu, pesakit Talasemia perlu mendapatkan rawatan transfusi darah sebanyak satu hingga dua kali sebulan sepanjang hayat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here