KUALA LUMPUR, 9 Dis — Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim Chee Keong dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan dalam Kabinet baharu bagi Kerajaan Perpaduan. 

Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya pada 8.15 malam yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen dan platform media sosial.

Ahmad yang juga Setiausaha Agung UMNO adalah penyandang kerusi Parlimen Pontian sejak tiga penggal lepas apabila memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 5,758 undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) manakala Sim, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP menang kerusi Parlimen Bukit Mertajam pada PRU15.

Turut menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan ialah Ahli Parlimen Beaufort Datuk Siti Aminah Aching selaku Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi.

Selain itu, Ahli Parlimen Mukah Datuk Hanifah Hajar Tun Abdul Taib memegang portfolio sebagai Timbalan Menteri Ekonomi manakala Ahli Parlimen Iskandar Puteri Liew Chin Tong diumum sebagai Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri.

Anwar berkata senarai nama itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah dengan istiadat angkat sumpah akan dijalankan di Istana Negara pada 3 petang esok.

Pada Jumaat lepas, Anwar mengumumkan pelantikan dua timbalan perdana menteri dan 28 anggota Jemaah Menteri bagi Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, Hanifah Hajar dalam catatan di laman sosial Facebook beliau menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri Ekonomi.

“Tidak dilupakan, jutaan terima kasih juga kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg merangkap Pengerusi Gabungan Parti Sarawak kerana masih memberi kepercayaan kepada saya untuk mewakili parti dan negeri berkhidmat di peringkat Persekutuan sekali lagi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here