KUALA LUMPUR, 19 Dis — Malaysia memiliki kelebihan untuk muncul sebagai destinasi pilihan bagi acara perniagaan memandangkan ia memiliki banyak kualiti yang telah diketahui umum seperti keramahan rakyatnya serta tarikan unik yang akan menjadikan acara lebih memuaskan, membuahkan hasil dan membawa kenangan. 

Justeru, industri mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE) serta acara perniagaannya (BE) berpotensi untuk meningkatkan keseluruhan ekonomi, mewujudkan kerjasama antara elemen, perniagaan dan individu yang berbeza. 

Sarawak, khususnya, menawarkan venue dan pengalaman terbaik bagi acara perniagaan manakala ibu negerinya, Kuching, telahpun terkenal dengan identiti budaya yang unik kepada Malaysia dan Borneo. 

Penduduk Kuching sendiri mengekalkan budaya dan warisannya menerusi makanan — yang mana menyaksikan Kuching menjadi bandar raya pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan sebagai ‘City of Gastronomy UNESCO’ di bawah UNESCO Creative Cities Network.

Sajian popular di negeri berkenaan termasuklah laksa Sarawak, mi kolok, sayur midin belacan, mi tomato, linut dan ayam pansuh.

Selain itu, ia juga turut terkenal dengan makanan pencuci mulut seperti kek lapis Sarawak dan setiap kumpulan etnik memiliki  juadah mereka tersendiri yang berbeza dari segi penyediaan, cara memasak dan bagaimana ia dimakan. 

Daripada perspektif perniagaan, Kuching merupakan pusat ekonomi, pengetahuan dan perdagangan di Sarawak dan semakin pantas menjadi pusat bagi peneraju acara perniagaan nasional dan antarabangsa. 

Acara perniagaan menjadi aktiviti ekonomi penting di Kuching disokong oleh infrastrukturnya yang semakin berkembang serta keupayaannya untuk menganjurkan konvensyen dan pameran bertaraf dunia.  

Terdapat banyak venue acara perniagaan yang boleh ditawarkan Kuching antaranya seperti The Waterfront Hotel, Pullman Kuching, Riverside Majestic Hotel, Grand Margherita Hotel, Hilton Kuching, Borneo Convention Centre Kuching dan Imperial Hotel Kuching.

Pengggerak kepada usaha ini adalah Business Events Sarawak (BESarawak), sebuah organisasi perkhidmatan pembidaan pakar yang menyediakan sokongan dan perkhidmatan menyeluruh bagi menghubungkan perancang mesyuarat dengan hubungan dan sumber yang betul untuk merancang dan menganjurkan mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran. 

Ketua Pegawai Eksekutif BESarawak Amelia Roziman berkata industri acara perniagaan merupakan satu daripada pemacu utama bagi pembangunan industri pelancongan negeri tersebut. 

“Industri ini adalah penjana penting pendapatan, pekerjaan dan pelaburan — kesan yang melangkaui impak pelancongan,” katanya semasa program Business Events Tribal Meet Familiarisation Trip yang dianjurkan oleh BESarawak baru-baru ini.

Amelia berkata bandar-bandar di Sarawak yang menganjurkan acara perniagaan termasuklah Kuching, Sibu dan Miri, yang kesemuanya memiliki infrastruktur dan kemudahan untuk penganjuran konvensyen, pameran, mesyuarat korporat dan acara insentif korporat bagi pelbagai saiz. 

“Sarawak merupakan pilihan utama bagi perancang konvensyen dan pameran dari seluruh dunia kerana ia memiliki sumber yang besar, daripada unit penyelidikan hinggalah kepada kemudahan mesyuarat yang moden dan canggih. 

“Industri acara perniagaan menerima sokongan padu daripada kerajaan negeri Sarawak yang memperkasakan perancang untuk menganjur dan menjalankan acara yang lebih berimpak,” katanya.

Amelia berkata BESarawak juga menumpukan untuk memajukan sektor-sektor dan memastikan komuniti boleh mendapat manfaat daripada pengetahuan dan hubungan yang dipacu oleh acara perniagaan. 

“Kami juga menawarkan pelbagai perkhidmatan perundingan dan menyediakan bantuan kepada organisasi dalam merangka program impak legasi yang dibuat mengikut keperluan khusus pelanggan,” katanya. 

BESarawak bersedia mengalu-alukan semua pemegang kepentingan dan orang ramai untuk memilih Sarawak sebagai destinasi acara perniagaan pada 2023 dan tahun-tahun seterusnya.  

Apa kata industri tentangnya?

BESarawak menganjurkan program Business Events Tribal Meet Familiarisation Trip yang berlangsung dari 27 Nov hingga 2 Dis untuk memperkenalkan para peserta dengan bandar raya Kuching sebagai destinasi acara perniagaan. 

Sekretariat Asian Society of Paediatric Anaesthesiology (ASPA) yang berpangkalan di Singapura Jessie Tan berkata beliau sukakan Kuching dan bandar raya itu boleh menjadi rumah keduanya sekiranya ada peluang.

“Saya ingin merasai pengalaman budaya yang berbeza dan menikmati pelbagai makanan yang tersedia di sini di Sarawak dan tidak dilupakan yang negeri ini juga adalah selamat.  

“Sekarang ini, penerbangan dari Singapura ke Sarawak semakin kerap, dan negeri ini mempunyai kemudahan dan kapasiti untuk menganjurkan acara bertaraf dunia pada kos yang berpatutan,” katanya. 

Tan juga berkata organisasi beliau telahpun mengadakan acara perniagaan di Sarawak sejak 2018, yang mana merupakan persidangan rehabilitasi ICU kelima. 

“Acara seterusnya akan diadakan pada Julai 2024, iaitu persidangan ASPA,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu Pengurus Besar World Travellers DMC Sdn Bhd Annie Chia berkata Sarawak yang merupakan negeri terbesar di Malaysia itu memiliki pelbagai daya tarikan yang boleh ditawarkan kepada delegasi acara perniagaan menerusi keunikan budaya dan kepelbagaian biodiversitinya. 

“Saya percaya Sarawak berupaya untuk menganjurkan acara perniagaan antarabangsa memandangkan kemudahan yang berdekatan antara satu sama lain seperti hotel dan venue acara.  

“Banyak hotel utama juga terletak berdekatan dengan daya tarikan seperti Sungai Sarawak dan tarikan lain, dan banyak kemudahan seperti gerai makanan dan minuman juga dekat dengan hotel,” katanya kepada Bernama.

Chia juga berkata beliau mendapat inspirasi daripada usaha BESarawak untuk menjadikan impak legasi dan kemampanan sebagai peneraju utama dalam acara perniagaan Sarawak.

“Saya merancang untuk membawa kira-kira 200 peserta acara ke Sarawak tahun depan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here