JOHOR BAHRU, 24 Dis — Kerajaan Negeri Johor berharap agar Kementerian Kesihatan (KKM) dapat memberi perhatian sekali gus menyelesaikan dan membantu meningkatkan tahap kesihatan serta perkhidmatan perubatan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor Ling Tian Soon berkata antara permasalahan utama yang dihadapi ialah peratusan penggunaan katil hospital yang tinggi di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI).

Justeru, beliau berkata negeri ini memerlukan sebuah lagi hospital pakar bagi menampung kesibukan kedua-dua hospital berkenaan.

Ling berkata sebelum ini kerajaan negeri dan KKM bercadang untuk membina hospital baharu di Kempas dan diharap akan disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Johor juga amat memerlukan beberapa poliklinik di kawasan penduduk yang ramai seperti Kulai dan Iskandar Puteri, selain itu beberapa klinik kesihatan yang usang harus dibaik pulih seperti Klinik Kesihatan (KK) Bukit Pasir, KK Ayer Hitam dan KK Mersing.

“Bekas Menteri Kesihatan juga telah bersetuju untuk menambah beberapa ambulans baharu pada 2023. Diharapkan keputusan ini dapat dikekalkan,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook miliknya, hari ini.

Perkara itu susulan pertemuan dan perbincangan dengan Menteri Kesihatan yang baharu Dr Zaliha Mustafa di Putrajaya, semalam.

Jelas Ling lagi, beliau turut berkongsi dengan Ahli Parlimen Sekijang itu melalui Belanjawan Johor 2023 yang memperuntukkan RM200,000 untuk mempromosikan program komuniti dengan meningkatkan kesedaran ‘Bangsa Johor’ terhadap penyakit denggi.

“Menteri juga memaklumkan KKM turut meminta daripada Perdana Menteri untuk mendapatkan peruntukan daripada lima peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk menanggung belanjawan perubatan harian.

“Diharap dengan perbincangan ini dapat meletakkan kebajikan rakyat di tempat utama,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here