PASIR PUTEH, 27 Dis — Hampir 70 peratus kerja pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 1 dan 2 meliputi jarak 82 kilometer bagi jajaran Tunjong, di sini ke Setiu, Terengganu terjejas akibat banjir minggu lepas.

Pengurus Pembinaan Seksyen 1 dan 2 Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Mohd Azemi Abdullah berkata lokasi terkesan banjir itu melibatkan kerja awalan seperti membersihkan hutan selain kawasan jajaran yang berada paras rendah.

“Kerja tanah terjejas dengan air hujan (banjir), jadi dari segi kejuruteraan kita tidak dibenarkan buat kerja.

“Namun banjir bukan halangan 100 peratus dan kita tidak mengganggap semua ini sebagai halangan, sebaliknya kita mahu menambah baik produktiviti untuk menggantikan semula apa yang hilang pada masa banjir ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Penyerahan Sumbangan Barangan Bantuan Mangsa Banjir kepada 180 penerima di Pejabat Penggawa Daerah Bukit Abal, di sini hari ini.

Mohd Azemi berkata walaupun terkesan banjir, kerja-kerja pembinaan tidak tertangguh dan aktiviti pembinaan jambatan diteruskan.

“Cuma sekiranya berlaku hujan, mereka terpaksa menghentikan operasi kecuali bagi kerja yang berada pada ketinggian melebihi dua meter dari paras tanah asal.

“Sebelum banjir, kita sudah tidak boleh masuk ke tempat rendah kerana digenangi air, oleh itu pada hari kejadian banjir ia dikira kemuncak sehingga kita tidak boleh langsung masuk ke situ,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here