BEIJING, 29 Dis — Langkah pelonggaran sekatan COVID-19 yang diumumkan China pada penghujung 2022 mewujudkan keterujaan global.

Peraturan baharu yang akan berkuat kuasa mulai 8 Jan itu menyaksikan buat julung kali ujian saringan COVID-19 dan kuarantin mandatori semasa ketibaan serta kawalan jumlah penerbangan antarabangsa dibatalkan sejak pandemik melanda.

Pembukaan semula sempadan negara diyakini bukan sahaja memberi kesan mendalam kepada China malah seluruh dunia, selain turut membina semula keyakinan rakyat terhadap pertumbuhan ekonomi masa hadapan.

Dunia bergelut dengan penularan COVID-19 selama tiga tahun, dengan jumlah kumulatif kes jangkitan sebanyak 660 juta setakat ini dan 6.68 juta kes kematian dilaporkan.

Negara Barat seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Itali, Perancis dan Jerman turut terjejas  akibat pandemik.

Cabaran baharu Asia

Rantau Asia juga tidak terkecuali dengan kesan COVID-19 terutamanya di negara anggota ASEAN.

COVID-19 dan krisis Ukraine menguji daya ketahanan ekonomi benua ini, dan ditambah dengan harga makanan dan tenaga yang melambung tinggi, rantai bekalan komoditi terputus serta nilai mata wang banyak negara susut drastik berikutan kenaikan kadar faedah yang dikenakan beberapa negara.

Selain itu, lonjakan mendadak mata wang dolar Amerika turut menyumbang kepada kesan sampingan.

Pada pertengahan Mei, pemimpin ASEAN dipanggil menyertai Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS yang dihoskan Presiden Joe Biden di Washington sebelum ke Tokyo untuk sidang kemuncak QUAD, yang menghimpunkan Jepun, AS, Australia dan India.

Pakatan itu mahukan kerjasama eksklusif dijalin membabitkan bidang keselamatan serantau, infrastruktur, rantai bekalan, teknologi memuncul dan lain-lain.

Saat mendepani cabaran baharu rantau ini sarat dengan siri persidangan pada November lalu, antaranya termasuk sidang kemuncak ASEAN, sidang kemuncak Kumpulan 20 (G20) dan mesyuarat pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Antara lain yang paling mencuri perhatian ialah pertemuan secara bersemuka Presiden China Xi Jinping dengan rakan sejawatnya Joe Biden sebelum perasmian sidang kemuncak G20 di Bali.

Pihak China menyatakan bahawa situasi yang dihadapi hubungan China-AS buat masa ini tidak selari dengan kepentingan asas kedua-dua negara serta aspirasi masyarakat antarabangsa.

Kedua-dua pihak perlu bertanggungjawab terhadap sejarah, dunia dan rakyat, membincangkan cara perhubungan yang baik dan menggariskan hala tuju yang betul bagi perkembangan hubungan dua negara.

Hubungan antara dua buah kuasa besar itu harus dibawa kembali ke landasan yang stabil demi kesejahteraan dua negara dan seluruh dunia.

Peluang baharu buat Asia

Tidak syak lagi bahawa dalam keadaan yang tidak menentu, China berinisiatif mengubah krisis kepada titik perubahan sehingga disajikan peluang baharu.  

Sejak tercetusnya wabak tiga tahun lalu, Wuhan mengamalkan langkah kawalan ketat sekatan pergerakan pada awalnya dan kemudian mematuhi pendekatan ‘dinamik sifar COVID-19’.

Langkah-langkah pencegahan dan kawalan secara bersasar memastikan kadar morbiditi dan kematian berada pada tahap yang sangat rendah, sekali gus jelas kelihatan kesannya dalam melindungi dan menyelamatkan nyawa.

Pendekatan saintifik dan bersasar dioptimumkan secara berterusan mengikut keadaan wabak yang berubah-ubah, di samping pelarasan dilakukan untuk mengimbangkan kawalan wabak dengan pembangunan sosioekonomi.

Mengimbas kembali 2020 dan 2021, China mencatatkan pertumbuhan ekonomi selama dua tahun berturut-turut, menjadikannya satu-satunya entiti ekonomi utama di dunia yang meraih pertumbuhan positif.

Selaku entiti ekonomi kedua terbesar dunia, China mengemukakan strategi dwi kitaran pada 2020 di tengah-tengah pandemik, dan turut menekankan peri pentingnya strategi itu sempena Kongres Kebangsaan ke-20 Parti Komunis China (PKC) pada Oktober 2022.

Strategi berkenaan dianggap mampu mengukuhkan pasaran dalaman dan mengurangkan kebergantungan kepada negara lain.

Seperti yang dicatatkan dalam laporan kongres kebangsaan itu, usaha akan dipergiatkan untuk membina pasaran gergasi yang bersepadu dan meningkatkan kecekapan keseluruhan sistem inovasi negara, sebagai langkah merungkai masalah peredaran dalaman.

Kembali ke normal

China bakal melaksanakan peraturan baharu membabitkan banyak langkah melonggarkan sekatan wabak, antaranya termasuk menurunkan tahap pengurusan COVID-19 daripada kelas A kepada kelas B bermula 8 Jan 2023.

Pelarasan itu bermaksud .era umat manusia dihantui wabak itu akan berakhir.

Apabila China membuka sempadannya, orang ramai tidak sabar untuk beralih ke masa bebas wabak seperti sebelum 2020.

Apabila masyarakat kembali normal secara beransur-ansur, keutamaan turut diberikan kepada pembangunan ekonomi.

China akan kekal meneruskan dasar  pintu terbuka  untuk menggerakkan pertumbuhan ekonomi demi situasi sama menang yang didorong strategi dwi kitaran yang memberikan manfaat kepada semua.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here