KUALA LUMPUR, 4 Jan — Formula jumlah kenaikan pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak berasaskan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan akan dimuktamad dalam mesyuarat pertama Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dijadual berlangsung Februari depan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata mesyuarat itu, yang turut melibatkan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, akan diadakan di Kuching.

“Mesyuarat pertama dijadualkan pada Februari 2023 yang juga akan menjadi lawatan rasmi pertama Perdana Menteri ke-10 ke Sarawak,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata Jawatankuasa Teknikal MA63 yang dipengerusikannya akan melihat dan meneruskan perbincangan dengan semua agensi serta memuktamad perkara yang belum diputuskan untuk dibawa ke MTPMA63.

Perdana Menteri hari ini mengumumkan beberapa perkara melibatkan MA63 antaranya mempertimbang jumlah pemberian khas kepada kedua-dua negeri dikaji setiap lima tahun agar lebih munasabah.

 Anwar juga berkata Kementerian Kewangan bersetuju pelaksanaan projek di bawah kos RM50 juta di Sabah dan Sarawak diputuskan hampir sepenuhnya oleh kerajaan negeri dengan mematuhi peraturan kewangan.

Sementara itu, Fadillah berkata kerajaan turut memberi komitmen untuk meneruskan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dan Sabah bagi menambah baik secara berperingkat jaringan infrastruktur jalan persekutuan di kedua-dua negeri.

Beliau berkata projek Pan Borneo Sarawak kini sudah 91 peratus siap manakala Pan Borneo Sabah siap sebanyak 73 peratus.

Fadillah berkata kerajaan juga komited meneruskan Projek Sarawak-Sabah Link Road yang terdiri daripada Fasa 1 (Lawas-Persimpangan Long Lopeng), kini 10 peratus siap, dan Fasa 2 serta Lebuhraya Trans Borneo yang melibatkan Miri-Limbang-Lawas.

“Trans Borneo akan dimulakan sebaik sahaja Kementerian Kerja Raya selesai melantik kontraktor yang dijangka dimuktamadkan pada 2024,” katanya.

Beliau berkata pengumuman Perdana Menteri hari ini membuktikan komitmen dan kesungguhan kerajaan menyelesaikan semua isu berkaitan MA63 yang masih tertunggak serta memartabatkan perjanjian itu selain memantapkan infra rakyat di kedua-dua negeri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here