KUALA LUMPUR, 5 Jan — Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) berhasrat untuk menjadi institusi pendidikan tinggi yang unggul menerusi pendidikan berkualiti selari dengan peredaran zaman.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pendidikan TARC Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata matlamat TAR UMT adalah untuk menjadi hab pembangunan bakat yang dapat menyumbang secara signifikan kepada pembangunan pelbagai industri serta kesejahteraan sosioekonomi khususnya di Malaysia dan di Asia Tenggara. 

“Pengiktirafan TAR UMT telah melakar sejarah penting bagi universiti ini. Kami (warga TAR UMT) berjanji akan terus menyumbang kepada masyarakat, negara juga serantau dengan penuh gigih dan cemerlang,” katanya dalam ucapan majlis pelancaran TAR UMT, di sini hari ini.

Pelancaran TAR UMT disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan berangkat ke majlis berkenaan yang juga dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin.

Selain itu, Wee merayu Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kewangan agar terus memperuntukkan geran padanan kepada TAR UMT.

“Sejak 1969 sehingga 2022, institusi pendidikan ini telah menerima geran padanan dan peruntukan pembangunan dengan jumlah terkumpul RM1.5 bilion. Bermula 2013, siling geran padanan RM60 juta setahun disalurkan kepada institusi pendidikan ini,” katanya.

Kolej TAR telah diluluskan penubuhannya pada 1968 oleh Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman dan ditubuhkan secara rasmi pada 1969.

Mantan Presiden MCA mendiang Tun Tan Siew Sin merupakan tokoh penting yang mencetuskan penubuhan institusi pendidikan itu.

Pada 2012, Kolej TAR dinaik taraf kepada kolej universiti dan dinamakan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) sebelum mendapat kelulusan Kementerian Pengajian Tinggi tahun lepas untuk dinaik taraf kepada status universiti penuh dan kini dikenali sebagai TAR UMT.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here