KUALA LUMPUR, 6 Jan — Sebanyak RM100 juta akan dibelanjakan bagi 260 projek pengindahan dan penghijauan bandar oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menjadikan Kuala Lumpur sebagai metropolis bertaraf antarabangsa.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata susulan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada DBKL untuk mengindahkan dan menghijaukan ibu negara, DBKL dengan segera mengenal pasti 260 projek pengindahan terlibat.

“Antara kerja yang dirancang termasuk menaik taraf dan meningkatkan kebersihan tandas awam, menaik taraf 20 daerah perniagaan di sekitar ibu kota, menaik taraf tujuh pusat penjaja dan mengecat semula pangsapuri DBKL,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerja-kerja lain adalah pemasangan lampu jalan diod pemancar cahaya (LED) dan solar, menaik taraf dan mengindahkan kawasan tarikan pelancongan utama, mewujudkan lebih banyak laluan pejalan kaki dan menambah baik pengangkutan awam sedia ada.

“Saya berharap agar penduduk di Kuala Lumpur turut bekerjasama dengan DBKL dan kita bersungguh-sungguh menjadikan ibu kota negara sebagai sebuah metropolis bertaraf antarabangsa,” katanya.

Nga berkata bagi meningkatkan kemudahan awam, kerajaan telah meluluskan permohonan DBKL untuk menambah lebih banyak bas percuma elektrik (Go KL Ride) tahun ini.

“Untuk memupuk gaya hidup lestari, kerajaan menggalakkan lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam, ia bukan sahaja merupakan amalan mesra alam sekitar bahkan dapat mengurangkan pelepasan karbon,” katanya.

Beliau juga memaklumkan pokok dan tanaman hiasan berhampiran Dataran Merdeka yang rosak dipijak orang ramai yang menghadiri sambutan Hari Kebangsaan lepas telah ditanam semula.

“Bagi memastikan kerajaan tempatan di seluruh negara dapat meningkatkan lagi kerja yang dekat di hati kehidupan harian rakyat, saya akan meluangkan masa untuk melawat ke pelbagai kawasan secara spontan, pada setiap bulan, selepas selesai tugasan di pejabat Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here