JOHOR BAHRU, 9 Jan — Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini menyeru penduduk di negeri itu agar mendapatkan dos penggalak kedua, meskipun jumlah jangkitan kes positif COVID-19 di Johor masih terkawal. 

Beliau berkata saranan itu berikutan kenyataan Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Aman Rabu mengenai kadar pengambilan dos penggalak kedua di negeri itu yang masih lagi rendah iaitu pada kadar 1.9 peratus. 

“Walaupun kini kita sudah terbiasa hidup dalam era peralihan ke fasa endemik, kemunculan varian baharu seperti BA.5.2 dan B.7 serta kedudukan negeri Johor sebagai pintu masuk antarabangsa akan memerlukan rakyat negeri ini terus berjaga-jaga.

“Marilah kita sama-sama berdoa agar Johor dan Malaysia terus dipelihara daripada ancaman wabak ini pada masa akan datang,” katanya menerusi satu hantaran yang dimuat naik ke Facebook, hari ini. 

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon berkata pemberian vaksin COVID-19 secara jumpa terus atau janji temu boleh dilakukan di 12 hospital ataupun 81 pusat pemberian vaksin (PPV) dan klinik kesihatan di setiap daerah di Johor, bermula hari ini. 

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa pada Isnin lepas berkata ketika ini, hanya 49.8 peratus daripada rakyat Malaysia sudah mendapat vaksin dos penggalak pertama manakala hanya 1.9 peratus mengambil vaksin dos penggalak kedua. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here