KUALA LUMPUR, 9 Jan — Pasaran kargo udara global dilihat lemah pada November 2022 akibat masalah ekonomi berikutan permintaan global yang diukur dalam tan kargo kilometer susut 13.7 peratus berbanding November 2021 walaupun November secara tradisinya merupakan musim puncak, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata daya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi dicerminkan menerusi permintaan yang agak stabil pada asas bulan ke bulan, tetapi pasaran memberikan isyarat bercampur-campur.

“November memberikan beberapa petunjuk dengan potensi yang menaik, iaitu harga minyak stabil, inflasi perlahan dan terdapat sedikit pengembangan dalam barangan yang didagangkan secara global,” katanya.

Walau bagaimanapun, penurunan pesanan eksport secara global dan peningkatan kes COVID di China menyebabkan pemantauan perlu dilaksanakan dengan teliti.

Mengenai prestasi serantau, IATA berkata volum kargo udara syarikat penerbangan Asia Pasifik menurun sebanyak 18.6 peratus pada November 2022 berbanding bulan yang sama pada 2021. Ini adalah prestasi paling teruk berbanding dengan semua rantau lain dan diterjemahkan kepada penurunan prestasi sebanyak 14.7 peratus berbanding hingga Oktober 2022.

“Syarikat penerbangan di rantau ini terus terjejas oleh tahap aktiviti perdagangan dan pembuatan yang lebih rendah serta gangguan dalam rantaian bekalan akibat peningkatan kes COVID di China. Kapasiti tersedia di rantau ini menurun sebanyak 4.5 peratus berbanding 2021,” katanya.

Selain Asia-Pasifik, syarikat penerbangan di Amerika Utara, Eropah, Timur Tengah dan Afrika menyaksikan penurunan prestasi pada bulan yang sama manakala syarikat penerbangan Amerika Latin melaporkan peningkatan 2.8 peratus dalam volum kargo pada November 2022 berbanding November 2021, prestasi yang paling kukuh antara semua rantau lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here