GEORGE TOWN, 10 Jan — Kerajaan Pulau Pinang menyasarkan 100 peratus pembayaran tanpa tunai (e-pembayaran) akan dapat dicapai menjelang 2030 dalam usaha meneruskan agenda transformasi digital di negeri itu.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pihaknya akan mempergiatkan usaha memperkenalkan kaedah itu pada masa terdekat terutama di tempat pelancongan utama, peniaga, penjaja, peruncit, kompleks beli-belah, kafeteria, kedai dan pasar mini.

“Pelaksanaan perkhidmatan e-pembayaran itu akan dapat meningkatkan hasil kutipan kerajaan negeri dan seterusnya menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi Pulau Pinang secara keseluruhan, malah usaha ini juga ialah kaedah yang terbaik untuk menarik minat pelabur asing untuk melabur di sini.

“Kerajaan negeri turut mengharapkan kerjasama daripada semua pengguna dan peniaga untuk sama-sama menyokong inisiatif pembayaran tanpa tunai itu serta seterusnya meningkatkan daya saing untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pintar,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Hari Tanpa Tunai Bagi Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Beliau berkata inisiatif pembayaran tanpa tunai di Pulau Pinang telah pun bermula sejak April 2020 dan Pasar Awam Taman Tun Sardon dipilih menjadi projek perintis pasar awam pertama menjalankan transaksi perniagaan tanpa tunai sebagai langkah untuk mengurangkan kontak atau sentuhan antara pembeli dengan peniaga di pasar awam akibat penularan wabak COVID-19 ketika itu.

Chow berkata berikutan kejayaan projek perintis itu, kerajaan negeri telah menjemput 17 institusi perbankan dan pengeluar wang elektronik bukan bank untuk memigrasikan e-pembayaran di semua pasar awam di seluruh Pulau Pinang.

Katanya, berdasarkan maklum balas positif terhadap inisiatif itu, satu dasar untuk mewajibkan penggunaan perkhidmatan e-pembayaran sebagai antara platform terimaan hasil bagi semua jabatan dan agensi kerajaan negeri telah diluluskan pada 2 Sept 2020 dan hasil pelaksanaan keseluruhan 23 jabatan pemungut hasil telah menggunakan perkhidmatan itu.

“Bermula 1 Jan 2022 hingga 30 Nov 2022, kesemua jabatan dan agensi pemungut hasil kerajaan negeri telah berjaya memungut sebanyak 2,110,566 bilangan transaksi iaitu 71.99 peratus daripada jumlah bilangan transaksi keseluruhan.

“Nilai kutipan hasil diperoleh sepanjang tahun lepas pula adalah sebanyak RM620 juta iaitu 50.16 peratus daripada keseluruhan nilai kutipan hasil,” katanya.

Menurut Chow, bagi menyokong hasrat e-pembayaran, kerajaan negeri melaksanakan Kempen Hari Tanpa Tunai bagi jabatan dan agensi kerajaan negeri selama tiga bulan bagi setiap Jumaat bermula 1 Dis lepas hingga 28 Feb.

“Orang awam yang hendak melakukan sebarang pembayaran di kaunter-kaunter pejabat kerajaan pada setiap hari Jumaat hendaklah membuat pembayaran secara kaedah e-pembayaran yang disedikan seperti e-dompet, kod QR, perbankan dalam talian atau terminal kad debit/kredit,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here