KLANG, 11 Jan — Semua pasar raya di seluruh negara disaran menyertai Jualan Rahmah iaitu antara cabang dalam kempen Inisiatif Rahmah yang bertujuan mengurangkan beban dan kos sara hidup rakyat terutama golongan B40.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata inisiatif baharu kerajaan itu, merupakan program kempen jualan murah sepanjang tahun yang akan dilaksanakan oleh pasar raya di seluruh negara secara berperingkat. 

Susulan itu, beliau berkata pihaknya akan melakukan perbincangan dengan beberapa pasar raya besar dalam negara bagi menjalin kerjasama terutama melibatkan jualan harga murah.

Katanya menerusi Jualan Rahmah itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) boleh memberi permit notis jualan murah bagi mana-mana pasar raya melaksanakan program tersebut hingga maksimum empat bulan.

“Kita menyasarkan pasar raya yang terlibat akan menawarkan harga barangan keperluan hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran. Susulan itu, semua pasar raya amat dialu-alukan untuk berkolaborasi menjayakan aspirasi sepanjang tahun ini,” katanya.  

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Jualan Rahmah dan Kempen Penurunan Harga 1,000 Barangan Jualan Rahmah di Pasar Raya Econsave Pandamaran, di sini hari ini.

Menurut Salahuddin program itu tidak melibatkan sebarang peruntukan kerajaan, sebaliknya menggunakan sepenuhnya kos menerusi hasil kerjasama dengan pemain industri sedia ada.

Dalam pada itu, katanya Pasar Raya Econsave hari ini menjadi perintis inisiatif tersebut dengan 91 cawangannya di seluruh negara melaksanakan Jualan Rahmah hingga 22 April depan.

“Kempen yang dilaksanakan di pasar raya ini akan membabitkan penurunan harga barangan yang berpatutan hingga 30 peratus antaranya makanan kering, sabun basuh, tepung gandum susu formula dan lampin pakai buang bayi,” katanya.

Menurutnya pemain industri dan orang ramai yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai Jualan Rahmah itu boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan di talian 03-8882 5881/5905 atau emel ke spip@kpdn.gov.my.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here