KAHERAH, 17 Jan — Kedaulatan dan integriti wilayah negara-negara di Timur Tengah perlu dihormati, kata Menteri Luar China Qin Gang.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama rakan sejawatnya dari Mesir, Sameh Shoukry.

Pada sidang media itu beliau turut mengupas mengenai dasar China di Timur Tengah.

Menurut beliau, negara-negara terbabit digalakkan berdialog dan berunding untuk mencari penyelesaian yang bersesuaian dengan keadaan serantau selain mengambil kira kepentingan semua pihak dan boleh diterima bersama. 

“Perlunya lebih banyak sokongan diberi kepada negara di rantau itu dengan tujuan membantu mereka mengatasi cabaran keselamatan makanan dan tenaga.

“Pada masa sama, sinergi harus dibentuk untuk melumpuhkan aktiviti keganasan dan bertindak mencegah kumpulan pengganas dan pelampau mengambil kesempatan daripada huru-hara,” kata Qin.

Beliau turut menyeru negara-negara di luar rantau supaya menghormati kedaulatan negara Timur Tengah dan tidak mencampuri urusan dalaman negara berkenaan.

“Adalah penting untuk mengamalkan multilateralisme yang jitu, menghormati sejarah, budaya dan tradisi Timur Tengah, serta menyuntik tenaga positif ke dalam keselamatan dan kestabilan rantau itu,” tegas Qin.

Beliau juga mengulangi pendirian konsisten China dalam menyokong rakyat Timur Tengah meneroka sendiri pembangunan dan menyokong negara berkenaan merungkai isu keselamatan rantau melalui kerjasama dan perpaduan.

“Selain komited terhadap pelaksanaan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan Inisiatif Pembangunan Global, kami (China) mengesyorkan supaya Timur Tengah mewujudkan kerangka keselamatan yang komprehensif, kolaboratif dan lestari,” jelas Qin.

Beliau berjanji China akan menyumbangkan kebijaksanaan dan saranan kepada penyelesaian isu rantau melalui pendekatan politik di samping bergiat dalam aktiviti pertukaran budaya dengan negara Timur Tengah serta melindungi kepelbagaian tamadun dunia. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here