CYBERJAYA, 17 Jan — Pelaksanaan petunjuk prestasi utama (KPI) untuk Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan dibuat tidak lama lagi, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Buat masa ini katanya, pihaknya sedang mengenal pasti prinsip-prinsip yang akan digunakan untuk membentuk KPI bagi KKD.

“Insya-Allah, minggu-minggu akan datang kita akan mengoperasikan KPI itu,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Ulang Tahun ke-10 Klik Dengan Bijak (KDB) di sini hari ini. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama 27 anggota Jemaah Menteri menghadiri program Permukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan di Kompleks Seri Perdana di sini pada Ahad,  antara lain bagi membincangkan soal hala tuju dan menetapkan KPI setiap kementerian.

Mengenai program pemukiman itu, Fahmi berkata ia merupakan ruang yang tepat untuk perdana menteri serta barisan Jemaah Menteri berkongsi pendapat mengenai hala tuju Kerajaan Perpaduan.

Fahmi berkata KKD akan terus menerbitkan rangkuman berita mengenai kejayaan atau usaha yang dilaksanakan oleh setiap kementerian di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan di pelbagai platform.

“Ini sebahagian daripada usaha untuk rakyat faham, tahu dan dapat lihat apa pencapaian kementerian,” katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata hubungan baik KKD dengan setiap kementerian serta penyedia perkhidmatan media sosial dapat membantu mengekang penularan berita palsu di media sosial.

“Kerajaan mempunyai ruang dari segi dasar untuk nyatakan bahawa berita palsu dan maklumat tidak benar itu perlu dikekang dengan segera,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here