KUALA LUMPUR, 3 Feb — Presiden Persatuan Automatif Malaysia (MAA) Datuk Aishah Ahmad Badjunaid yang meninggal dunia pagi semalam di Jeddah, Arab Saudi akan dikebumikan di sana hari ini.

MAA dalam kenyataan hari ini menyifatkan pemergian Allahyarham pada usia 71 tahun, merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada ahli persatuan tetapi juga seluruh industri automotif.

Menurut MAA, Allahyarham Aishah sangat dihormati dalam kalangan industri automotif tempatan serta rakan sejawat beliau di ASEAN, Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dan kerajaan Malaysia.

“Allahyarham merupakan antara personaliti automotif terkemuka yang menyumbang kepada perkembangan dan pembangunan industri automotif Malaysia menerusi visi, dedikasi dan semangat beliau .

“Bagi pihak majlis, ahli dan kakitangan MAA, kami mengucapkan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga Datuk Aishah Ahmad,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata Allahyarham seorang yang sangat gigih dan memberikan sumbangan besar kepada industri permotoran negara sepanjang kerjayanya.

“Pemergian Allahyarham amat sukar dicari ganti. Kepimpinan, visi dan dedikasi beliau dalam menerajui MAA memberi impak berkekalan kepada industri dan akan dikenang sebagai ketua yang tidak mengenal erti penat lelah demi perkembangan serta pembangunan sektor automotif Malaysia,” katanya

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Roslan Abdullah berkata sebagai presiden MAA, Allahyarham memainkan peranan penting dalam membantu pasaran automotif Malaysia terus berkembang selain memastikan kepentingan ahli ditonjolkan kepada pihak berkuasa.

Aishah menerajui MAA sejak 1991 (ketika itu dikenali sebagai Persatuan Peniaga Permotoran Malaysia atau MMTA) dan berjaya membawa MAA hingga menjadi persatuan industri automotif terkemuka di negara ini.

 Allahyarham juga adalah pengerusi Persekutuan Automotif Malaysia (AFM) sejak 1998, selain pernah berkhidmat sebagai presiden Persekutuan Automotif ASEAN (AAF) bagi tiga penggal iaitu 2000-2002, 2008-2010, dan 2015-2017.

Pengalaman lebih 40 tahun dalam industri automotif menjadikan Allahyarham sebagai antara individu paling lama berkhidmat dan terbabit dalam industri tersebut.

Beliau memulakan kerjayanya pada pertengahan 1970-an bersama Kumpulan Syarikat Inchcape di Malaysia, sebelum menyertai Ford Malaysia, Tractors Malaysia dan bersara pada 2021 ketika bersama Sime Darby Motors.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here