PETALING JAYA: Sebanyak 75 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang dihantar dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di selatan Turkiye selamat tiba di negara itu hari ini.

Semalam, Malaysia umum menghantar 75 anggota SMART untuk membantu usaha SAR.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pasukan itu dihantar selepas mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Armizan berkata, pasukan berkenaan berlepas ke Turkiye dengan menaiki penerbangan Turkish Airlines dan mereka membawa bersama peralatan digunakan dalam operasi SAR itu.

Katanya, pasukan SMART menerima pengiktirafan Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) pada 2016, membolehkan ia dihantar untuk menyertai misi bencana di luar negara.

Media antarabangsa melaporkan gempa bumi dengan kekuatan magnitud 7.9 menggegarkan selatan Turkiye dengan angka kematian terkini melebihi 4,000 orang termasuk di kawasan berjiran di Syria.

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye memaklumkan, gempa bumi berlaku pada pukul 4.17 pagi (waktu tempatan) dan berpusat di daerah Pazarcik.

Gegaran menyebabkan puluhan bangunan musnah itu turut dirasai di wilayah lain termasuk Diyarbakir dan Gaziantep serta negara jiran termasuk Lubnan dan Syria.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here