PUTRAJAYA, 9 Februari- Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 bakal dijenamakan semula sebagai KLIA Terminal 1 dan KLIA Terminal 2.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata kabinet bersetuju dengan cadangan tersebut yang dijangka membantu meningkatkan daya saing global perkhidmatan pengangkutan udara negara.

“Dengan keputusan jemaah menteri OA sebelum perjanjian sebelum ini akan dibatalkan, kerajaan akan menandatangani satu OA baru dengan MAHB sehingga tahun 2069. Tetapi, apa yang beza, ia memberi banyak fleksibiliti terhadap cara pambangunan lapangan terbang”, katanya dalam sidang media di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya.

Cadangan untuk menandatangani Perjanjian Operasi (OA 2023) antara kerajaan dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) serta cadangan penjenamaan semula KLIA dan KLIA2 memainkan peranan penting dalam menentukan kelestarian KLIA, selain pertumbuhan di lapangan terbang seluruh negara.

Beliau optimis, ia akan membantu syarikat penerbangan untuk beroperasi dengan lebih efisyen sekali gus mengurangkan bebanan pengguna melalui pengurangan harga tiket.

Keputusan kabinet pada 2 Februari lalu bersetuju secara prinsip dengan syarat baharu perjanjian berkenaan memberikan konsesi kepada MAHB untuk mengoperasi, mengurus, menyelenggara dan membangun 39 lapangan terbang serta padang terbang sehingga tahun 2069.

Perjanjian itu bakal dimuktamadkan dan ditandatangani selewat-lewatnya sebelum akhir suku pertama tahun ini.

Syarat baharu di bawah OA 2023 ini membolehkan kerajaan dan MAHB melaksanakan pelan pembangunan komersial lebih berdaya saing dan berpotensi meningkatkan pendapatan kerajaan melalui perkongsian hasil ke atas tanah milik kerajaan yang dibangunkan MAHB.

Ia akan membolehkan MAHB merencana perancangan pembangunan jangka panjang lebih baik bagi semua lapangan terbang di bawah seliaannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here