PETALING JAYA, 9 Feb (Bernama) — Aplikasi mudah alih gaya hidup sehenti Sunway yang baru dilancarkan iaitu Sunway Super App, menawarkan pengguna akses kepada produk dan perkhidmatan di seluruh bahagian perniagaan Sunway, serta rakan perniagaan dan peniaga runcit.

 Aplikasi itu yang dilancarkan serentak dengan Sunway Theme Parks (STP) Mega Roadshow di sini hari ini, ialah yang pertama seumpamanya yang turut berfungsi sebagai dompet digital bagi transaksi tanpa tunai dan pembayaran tempat letak kereta pintar yang pantas di seluruh pusat beli-belah dan bangunan Sunway.

Ketua Pegawai Maklumat Kumpulan Sunway Kevin Khoo berkata pengguna aplikasi itu akan dapat mengakses tawaran eksklusif antaranya daripada STP, Sunway eMall dan Sunway Multicare Pharmacy yang hanya boleh didapati di Mega Roadshow.

“Selain itu, pengguna juga dapat menikmati manfaat program kesetiaan bersepadu utama Sunway iaitu Sunway Pals untuk menebus mata ganjaran dalam aplikasi atau dengan peniaga yang mengambil bahagian di kedai mereka,” katanya dalam ucapan bersama dengan Pengarah Eksekutif STP Calvin Ho pada pelancaran program itu di pusat beli-belah Sunway Pyramid.

Sementara itu, Ho berkata jerayawara itu bertujuan melibatkan pasaran pelancongan tempatan dengan rakan ejen pelancongan kerana pasaran kini mencari pakej percutian yang berpatutan dan destinasi berkualiti tinggi.

Beliau berkata pakej hebat untuk tarikan utama STP menanti pengunjung ke jerayawara itu seperti ‘Sunway Lagoon’s Night Park: The Good, The Bad and The Wild’, ‘Camp Out!’ dan pengalaman glamping (perkhemahan mewah) di Sunway Lost World of Tambun.

“Taman kami akan terus menjadi hab pelancongan terbaik di dalam bandar bersepadu Sunway,” katanya.

Turut hadir pada pelancaran itu ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching, yang menggesa pihak berkepentingan dalam ekosistem Sunway supaya mengambil bahagian dalam inisiatif ke arah transformasi digital yang seterusnya akan membantu menarik pelaburan asing dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Teo berkata Sunway Super App yang menjadi bahagian penting dalam ekosistem itu, menandakan pencapaian penting untuk Sunway dalam perjalanan transformasi digitalnya yang berterusan.

STP Mega Roadshow akan diadakan di Sunway Pyramid Mall bermula hari ini hingga 12 Feb, AEON Mall Tebrau, Tebrau City (14-19 Feb), Sunway Big Box Retail Park, Sunway City Iskandar Puteri di Johor (23-26 Feb) dan Sunway Carnival Mall di Pulau Pinang (2-5 Mac).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here