GENEVA, 10 Feb – Selama lebih 100 tahun, wilayah antara Türkiye dan Syria tidak pernah menyaksikan gempa bumi dahsyat seperti yang berlaku di wilayah Kahramanmaras, Turkiye baru-baru ini, kata pengarah Perkhidmatan Seismologi Switzerland Stefan Wiemer pada Khamis.

Wiemer berkata demikian dalam saluran televisyen Switzerland SRF, ketika mengulas mengenai dua gempa bumi berukuran 7.7 dan 7.6 pada skala Richter yang menjejaskan 10 wilayah di selatan Türkiye pada Isnin, lapor Agensi Anadolu.

Ia bukan satu kebetulan bahawa gempa bumi kuat kerap berlaku antara kedua-dua negara berkenaan, katanya.

“Ia berpunca daripada sesar Anatolia Timur, di mana ketegangan terkumpul dan dilepaskan, terutamanya membabitkan kejadian gempa bumi 7.7 pada skala Richter.

“Gempa bumi sebegini sangat jarang berlaku.

“Gempa bumi berukuran lapan pada skala Richter berlaku mungkin sekali setahun di dunia,”katanya.

Sambil meramalkan bahawa gegaran susulan berlanjutan selama beberapa hari, minggu dan juga berbulan-bulan selepas bencana, Wiemer berkata bahawa secara amnya kekerapan dan kekuatannya akan berkurangan dari semasa ke semasa.

Bencana itu telah mengorbankan 17,674 nyawa manakala 72,879 lagi cedera setakat ini, menurut Naib Presiden Turkiye Fuat Oktay pada Khamis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here