MELAKA: Zoo Melaka dan Taman Botanikal Ayer Keroh antara 16 kawasan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) yang terjejas susulan kejadian ribut petang tadi.

Susulan itu, kedua-dua pusat pelancongan itu ditutup selama sehari esok, bagi membolehkan kerja penyelenggaraan dilakukan.

Yang Dipertuanya, Datin Sapiah Haron, berkata pihaknya menerima banyak laporan pokok tumbang akibat hujan dan ribut yang berlaku, selain terdapat premis yang terjejas.

“Sebanyak 16 kawasan ini adalah lokasi berlaku insiden pokok tumbang yang teruk termasuk di Zoo Melaka, jadi esok operasi zoo akan ditutup sehari kepada pengunjung bagi membolehkan kerja penyelenggaraan dilakukan.

“Taman Botanikal Ayer Keroh juga akan ditutup sehari esok dan notis penutupan akan diletakkan di pintu masuk. Saya harap pengunjung mematuhi arahan penutupan itu,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, turut terjejas dalam kejadian petang tadi ialah enam unit gerai di Medan Kraftangan Taman Botanikal apabila sengkuap hadapan premis itu runtuh.

“Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan kita sudah arahkan peniaga terbabit mengemas barang niaga kerana kerja baik pulih akan dilakukan esok.

“Selain itu, kita dimaklumkan banyak juga kenderaan rosak akibat dihempap pokok tumbang, jadi pemilik kenderaan diminta membuat laporan polis dan diserahkan kepada MPHTJ untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka berkata, susulan kejadian ribut petang tadi, pihaknya menerima tiga panggilan kecemasan membabitkan kejadian pokok tumbang.

“Antara balai terbabit adalah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil dan BBP Ayer Keroh yang keluar melakukan kerja memotong serta membersihkan pokok tumbang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here