JAKARTA, 14 Feb – ASEAN merancang mengembangkan inisiatif tetingkap tunggal dengan Jepun bagi meningkatkan dagangan dua hala pada tahun ini serentak dengan ulang tahun ke-50 hubungan bilateral kedua-dua pihak, kata Setiausaha Agung Kao Kim Hourn.

Bercakap pada seminar mengenai hubungan ASEAN-Jepun pada Isnin, Koh mengesahkan bahawa sebagai tambahan kepada pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), ASEAN berharap untuk memperluas Tetingkap Tunggal ASEAN (ASW) dengan Jepun untuk memudahkan perdagangan dalam kebiasaan baharu, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Menurut beliau perdagangan dua hala ASEAN dan Jepun telah berkembang kukuh selama ini, mencecah AS$240.2 bilion pada 2021, meningkat 17.2 peratus berbanding 2020 dan melebihi paras prapandemik.

Pencapaian ini menjadikan Jepun sebagai rakan perdagangan ketiga terbesar ASEAN.

Antara rakan dialog ASEAN, Jepun merupakan sumber pelaburan langsung asing keempat terbesar.

ASEAN menyambut baik hasrat Jepun untuk mewujudkan perkongsian strategik komprehensif menjelang akhir 2023, kata pegawai itu.

ASW yang telah dilaksanakan pada 2019, membolehkan semua negara anggota melakukan pelepasan kastam yang lebih pantas selain pengurangan kertas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here