BEIJING, 14 Feb – China berhasrat memperkukuh jalinan kerjasama dengan Thailand dalam segenap aspek dan peringkat, kata Menteri Luar Qin Gang.

Beliau berkata demikian ketika bertemu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Thailand, Don Pramudwinai di sini, pada Isnin.

Pada pertemuan itu, Qin mengesyorkan supaya kedua-dua negara mengekalkan pertukaran lawatan peringkat tinggi bagi meningkatkan lagi rasa saling percaya dalam bidang politik.

“Kerjasama pragmatik antara kedua-dua pihak diharap melonjak ke tahap baharu dan program pertukaran sosiobudaya beroleh hasil,” katanya.

Qin turut berharap agar China dan Thailand terus sehaluan dalam menggerakkan pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Global dan Inisiatif Keselamatan Global.

“Konsensus yang dicapai pada sidang kemuncak khas sempena memperingati ulang tahun ke-30 hubungan dialog China-ASEAN, perlu dilaksanakan sepenuhnya dan memastikan kerjasama pelbagai hala mencapai kemajuan baharu,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Don Pramudwinai berkata Thailand menyokong penuh dasar satu China dan dua inisiatif berkenaan.

“Saya berharap kedua-dua negara meneruskan program pertukaran membabitkan semua peringkat, dan memperkasa kerjasama dalam pelbagai bidang,” kata beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here