BANGKOK, 19 Feb – Polis Malaysia dan Thailand bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam usaha membanteras penipuan pekerjaan di luar negara yang membabitkan rakyat kedua-dua negara itu.

Perkara itu diputuskan selepas perbincangan antara Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan dan Penolong Ketua Polis Thailand, Leftenan Jeneral Surachate Hakparn di Bangkok pada Jumaat.

Dalam pertemuan itu, Abd Jalil berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Diraja Thailand (RTP) bersetuju berkongsi maklumat dan data bagi mengenalpasti rangkaian jenayah, trend semasa dan modus operandi terkini demi mengelakkan rakyat kedua-dua negara daripada menjadi mangsa penipuan.

“PDRM dan RTP bersetuju supaya maklumat mangsa penipuan pekerjaan disalurkan ke Kementerian Luar dan polis Malaysia,“ katanya kepada Bernama.  

Beliau turut menyarankan agar semua badan bukan kerajaan (NGO) menyalurkan semua maklumat yang diperoleh daripada mangsa atau keluarga mereka kepada PDRM atau Kementerian Luar serta pihak kedutaan supaya tindakan segera dapat diambil.

Selain Thailand, PDRM turut menjalin kerjasama erat dengan Polis ASEAN (Aseanapol), Polis Antarabangsa (Interpol) serta pihak berkuasa di China, Kemboja dan Myanmar bagi menangani isu berkenaan, kata Abd Jalil.

PDRM juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa China yang mempunyai kepakaran teknologi dalam usaha mengesan dan menjejaki dalang sindiket terbabit, kata Abd Jalil.

Beliau turut menasihatkan agar rakyat Malaysia dan Thailand membuat semakan dengan pihak berkuasa bagi mengesahkan tawaran pekerjaan yang menjanjikan kadar upah yang tingi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here