MOSCOW, 22 Feb – Perdana Menteri UK Rishi Sunak sedang mempertimbangkan untuk menaikkan gaji pekerja sektor awam sebanyak 5 peratus bagi menamatkan gelombang mogok susulan rangsangan luar jangka yang diterima oleh Perbendaharaan negara itu sebanyak 30 bilion pound (AS$36.36 bilion), lapor Sputnik memetik laporan Financial Times.

Kenaikan gaji 5 peratus untuk penjawat awam pada 2023-2024 mempunyai “risiko rendah” dalam penetapan penanda aras untuk pertumbuhan gaji sektor swasta.

Langkah itu dibuat selepas angka rasmi menunjukkan bahawa pinjaman awam berkemungkinan 30 bilion paun lebih rendah daripada jangkaan disebabkan oleh penerimaan cukai yang tinggi, penurunan harga tenaga dan pelaburan awam yang rendah.

Unjuran baharu kewangan awam itu memberi peluang kepada Sunak untuk menawarkan kenaikan gaji ketika kerajaannya berusaha untuk menamatkan tindakan mogok yang mendominasi politik semasa kepimpinannya.

Sejak beberapa bulan lepas, UK menyaksikan beberapa siri mogok oleh penjawat awam ekoran rasa tidak puas hati terhadap situasi ekonomi yang semakin buruk disebabkan kenaikan harga tenaga dan inflasi yang melambung tinggi.

Pekerja syarikat kereta api, pejabat pos, lapangan terbang dan peguam adalah antara sektor yang  menyertai demonstrasi.

Badan penyiar UK Sky News yang memetik data dari Pejabat Perangkaan Kebangsaan (ONS) negara itu yang berkata jumlah hari bekerja yang hilang akibat pertikaian buruh pada Disember berjumlah 843,000 jam, menjadikan jumlah hari mogok dari Jun hingga Disember 2022 kepada 2,471,000 jam, angka tertinggi sejak 1989.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here