KUALA LUMPUR, 23 Feb – Persediaan untuk Sukan Para ASEAN ke-12 telah memasuki fasa akhir dan hanya menunggu atlet daripada 11 kontinjen bertanding untuk berkumpul di Phnom Penh, Kemboja pada 3-9 Jun ini.

Persekutuan Sukan Para ASEAN dalam kenyataan berkata persediaan intensif telah bermula sejak dua tahun lepas dan berjalan mengikut jadual Jawatankuasa Penganjuran Sukan Para ASEAN Kemboja (CAMAPGOC) dan perancangan badan pentadbir APSF.

Kebanyakan acara sepanjang seminggu kejohanan bakal berlangsung di Kompleks Sukan Morodok Techo di pinggir bandar utara Phnom Penh dengan 2,000 atlet dan pegawai. (Sebanyak 13 sukan dipertandingkan.)

“Hari ini, ketika kita menyambut pencapaian pengiraan detik 100 hari, kita mesti terus memastikan atlet-atlet diberi peluang sama rata untuk membuktikan kemampuan mereka dan berjaya pada platform sukan berkompetitif tertinggi.

“APG bukan sahaja menyediakan peluang itu, tetapi ia juga membantu memperkasa agenda kesamarataan dan keterangkuman,” kata Presiden APSF Jeneral Osoth Bhavilai dalam mesejnya sempena sambutan pengiraan detik 100 hari temasya itu hari ini.

Beliau percaya APG ke-12 akan menepati temanya ‘Sports: Live In Peace’ (Sukan: Hidup dalam Keamanan) selain memberi pentas kepada atlet untuk bersedia menghadapi Sukan Para Asia Hangzhou 2023 pada Oktober ini.  

13 sukan yang bakal dipertandingkan ialah olahraga, parabadminton, boccia, catur, goalball, bola sepak 5-sebelah dan 7-sebelah, judo, powerlifting, pararenang, ping pong, bola tampar duduk dan bola keranjang kerusi roda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here