ISLAMABAD, 25 Feb – Pakistan membuka semula lintasan sempadan utama dengan negara jiran Afghanistan kepada semua jenis lalu lintas pada Sabtu.

Sempadan Torkham yang menghubungkan wilayah Khyber Pakhtunkhwa di barat laut Pakistan dan wilayah Nangarhar timur Afghanistan ditutup secara unilateral (sepihak) oleh pentadbiran sementara Taliban minggu lepas.

Bagaimanapun, pentadbiran Afghanistan membukanya semula pada Khamis tetapi pihak berkuasa Pakistan enggan berbuat demikian, kata seorang pegawai tempatan ketika dihubungi Agensi Anadolu.

“Petang tadi, kami membuka sempadan buat sementara waktu untuk warga Pakistan yang terperangkap di sebelah Afghanistan.

“Kami akhirnya membuka semula sepenuhnya sempadan untuk perdagangan, transit dan pejalan kaki dari kedua-dua belah pihak pagi ini,” katanya.

Ahad lepas, Kabul menutup secara unilateral lintasan sempadan itu susulan kejadian tembak-menambah antara kedua-dua pasukan sempadan pada Isnin.

Perkembangan terbaharu itu berlaku tiga hari selepas Menteri Pertahanan Pakistan Khawaja Asif bertemu pemangku Timbalan Perdana Menteri Afghanistan Mullah Abdul Ghani Baradar dan pemangku Menteri Pertahanan Mullah Mohammad Yaqoob di Kabul pada Rabu.

Pakistan dan Afghanistan berkongsi 18 lintasan sempadan termasuk yang paling sibuk iaitu di Torkham dan Chaman yang menghubungkan wilayah Balochistan di barat daya Pakistan dan wilayah Kandahar di selatan Afghanistan.

Kedua-dua jiran itu berkongsi sempadan sepanjang hampir 2,670 kilometer.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here