MELAKA, 26 Feb – Seramai 130 kanak-kanak lelaki kawasan Parlimen Tangga Batu menyertai program Khatan Perdana secara percuma sempena cuti sekolah di Masjid Al Aminin Batang Tiga, Klebang.

Program anjuran bersama pihak pengurusan masjid dan badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Prihatin Anak Melaka (PPAM) yang berlangsung dari 9 pagi hingga 2 petang itu, disertai kanak-kanak berusia antara empat hingga 12 tahun.

Pengerusi PPAM Mohd Syamsul Mat berkata program itu bagi membantu meringankan beban kos berkhatan di klinik yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapa terutama yang berpendapatan rendah.

“Setiap kali musim cuti sekolah banyak pihak mengadakan program berkhatan beramai-ramai kerana ia lebih menjimatkan, tetapi pada program hari ini kita langsung tidak kenakan sebarang bayaran.

“Dengan peningkatan kos berkhatan kini mencecah sehingga RM150 ringgit seorang, program sebegini dilihat dapat membantu golongan ibu bapa kurang berkemampuan lebih-lebih lagi yang memiliki ramai anak lelaki,” katanya.

Terdahulu Program Berkhatan Perdana itu dirasmikan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Iskandar Mohd Akin.

Seorang bapa, Mohd Hafiz Ibrahim, 33, berkata beliau memanfaatkan sepenuhnya peluang itu dengan menghantar tiga anak lelakinya yang berusia antara tujuh hingga sepuluh tahun.

“Bagi saya yang mempunyai anak lelaki ramai program sebegini pasti tidak akan dilepaskan kerana kos berkhatan semakin hari semakin meningkat. Program ini amat baik kerana sedikit sebanyak membantu keluarga B40,” katanya.

Romizan Othman, 42, pula berkata beliau menghantar anaknya berusia sembilan tahun menyertai program khatan itu dan berharap ia dapat diteruskan pada masa depan bagi membantu lebih ramai ibu bapa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here