BALING, 26 Feb – Pelaksanaan Industri Dalam Kampus (IOC) yang melibatkan kolej komuniti dan politeknik di negara ini berupaya melahirkan bakat baharu berkemahiran untuk sektor perindustrian pada masa hadapan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Seri Abdul Razak Jaafar berkata penglibatan industri yang bertindak memberikan input mengenai keperluan kemahiran dan pengetahuan diperlukan untuk pasaran kerja, adalah bertepatan dengan konsep IOC.

“Ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menyediakan bakat dalam sektor perindustrian pada masa hadapan bagi pembangunan negara sekali gus akan memberikan manfaat kepada industri dari segi tenaga kerja,” katanya.

Abdul Razak berkata setakat ini IOC telah dilaksanakan di enam kolej komuniti dan politeknik antaranya Politeknik Shah Alam dan Kolej Komuniti Kuala Langat di Selangor; Politeknik METRO Tasek Gelugor, Pulau Pinang; dan Politeknik Ungku Omar di Ipoh, Perak.

“Keseluruhannya terdapat 36 politeknik dan 105 kolej komuniti…kita sasarkan lima atau enam lagi yang akan laksanakan IOC secara berperingkat dan berdasarkan bidang di institusi terbabit. Kita akan buat secara berjadual dan berfokus, antara lokasi sasaran ialah di Johor Baharu, Johor dan Pendang, Kedah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pelancaran Garis Panduan Kriteria Penarafan Berteraskan IOC JPPKK Edisi 2023 akan memudahkan pihak industri dan institusi yang berhasrat melaksanakan IOC pada masa hadapan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here