JERUSALEM, 26 Feb – Ratusan ribu penduduk Israel mengadakan demonstrasi sebagai membantah pembaharuan badan kehakiman yang dilaksanakan kerajaan.

Lebih 100,000 penduduk Israel mengadakan bantahan di seluruh negara, dengan sebahagian besarnya berhimpun di Tel Aviv manakala 25,000 lagi di bandar Haifa dan beribu-ribu lagi berkumpul di hadapan kediaman presiden di Baitulmaqdis.

Rumah Menteri Kehakiman Yariv Levin di pusat bandar Modiin juga menjadi sasaran penunjuk perasaan, lapor Xinhua.

Bantahan yang telah berlarutan selama lapan minggu berturut-turut.

Bacaan pertama beberapa rang undang-undang yang berkaitan sudah pun diluluskan parlimen.

Antara rang undang-undang berkenaan ialah “override clause” yang membolehkan parlimen mengatasi keputusan mahkamah tertinggi dengan majoriti mudah manakala satu lagi rang undang-undang ialah mengubah komposisi jawatankuasa yang melantik hakim mahkamah agung.

Rang undang-undang ketiga pula bertujuan menghalang mahkamah agung daripada menyemak undang-undang asas yang telah diluluskan oleh parlimen.

Penunjuk perasaan menyifatkan pembaharuan itu akan melemahkan mahkamah dan memberikan kuasa yang tidak terkawal kepada pakatan pemerintah.

Pihak gabungan kerajaan yang diketuai oleh Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menyasarkan proses perundangan itu selesai pada April.

Berdasarkan majoriti yang kukuh di parlimen, rang undang-undang itu dijangka diluluskan tanpa halangan.

Parlimen juga dijadual membahaskan rang undang-undang yang akan menghalang peguam negara mengisytiharkan perdana menteri tidak berupaya menjalankan tugas kecuali atas sebab perubatan yang sah.

Peguam Negara Gali Baharav-Miara berkata Netanyahu tidak boleh terlibat dalam pembaharuan kehakiman kerajaannya kerana beliau mempunyai konflik kepentingan kerana perbicaraan rasuahnya sedang berlangsung.

Netanyahu dan rakan-rakannya berkata pembaharuan itu perlu dari segi mengehadkan sistem kehakiman yang menjadi terlalu berkuasa sejak beberapa dekad kebelakangan ini dan sering campur tangan dalam isu politik.

Perdana menteri itu turut menafikan bahawa pembaharuan itu bermotifkan peribadi untuk membolehkannya mempengaruhi keputusan perbicaraannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here