BEIJING, 27 Feb – Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan membawa peluang kerjasama sama menang kepada pemulihan ekonomi dan pembangunan Filipina, kata Utusan Khas Presiden Filipina ke China untuk Perdagangan, Pelaburan dan Pelancongan, Benito Techico.

Pada 21 Februari, Senat Filipina meluluskan dokumen kelulusan RCEP, sekali gus melepasi halangan terakhir untuk perjanjian itu berkuat kuasa di Filipina.

Menurut Benito, ia secara tidak langsung akan membuka “pintu persaingan” baharu untuk Filipina.

Beliau berkata RCEP bukan sahaja memberikan suasana kondusif kepada pembangunan sektor pertanian, perkhidmatan dan pelancongan Filipina, malah akan merangsang daya inovasi syarikat tempatan.

“Anggota RCEP saling menguntungkan, bekerjasama secara sama menang serta bersama-sama mendorong pembentukan pasaran lebih besar, yang membolehkan pengguna memperoleh lebih banyak produk pada harga  lebih berpatutan.

“Filipina harus mengambil peluang daripada RCEP di samping menggunakan kelebihan geografinya agar membina Filipina sebagai pusat logistik di rantau Asia.

“Sementara itu, penguatkuasaan RCEP di Filipina juga akan membantu negara ini menjadi hab pembuatan yang ideal dan destinasi pelaburan yang lebih menarik,” kata Benito.

Beliau turut menyifatkan China sebagai peserta penting dalam kerjasama ekonomi serantau dan memberitahu bahawa kerjasama ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara akan menyambut peluang kerjasama sama menang yang baharu di bawah rangka kerja RCEP.

“Filipina dijangka memperoleh pengaturan yang lebih baik untuk akses pasaran China serta menarik lebih banyak pelaburan asing ke dalam bidang pembuatan dan pertanian,” tambah Benito.

Untuk rekod, RCEP mempunyai 15 negara anggota, termasuk China, Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand dan 10 negara ASEAN pada masa ini dengan jumlah penduduk, agregat ekonomi dan jumlah perdagangan masing-masing menyumbang kira-kira 30 peratus daripada jumlah global.

Sejak RCEP berkuat kuasa pada 1 Januari 2022, perjanjian itu sudah menjadi tenaga penting kepada pertumbuhan ekonomi dunia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here