PUTRAJAYA, 28 Feb – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Republik Filipina pada 1 dan 2 Mac ini, lawatan rasmi sulungnya ke republik itu sejak menyandang jawatan Perdana Menteri Malaysia ke-10. 

Anwar akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Ferdinand R. Marcos Jr  dan kedua-dua pemimpin itu dijangka membincangkan pelbagai perkara berkaitan kerjasama dua hala seperti kerjasama keselamatan, pertanian dan industri halal dan ekonomi digital.

Kedua-dua pemimpin juga akan membincangkan isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

“Lawatan ini mencerminkan hubungan akrab antara Malaysia dan Filipina selaku jiran rapat serta negara anggota ASEAN.

“Ia juga akan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk memperkasa jaringan kerjasama dua hala bertunjangkan kepentingan bersama, peningkatan kerjasama ekonomi dan politik serta jalinan antara rakyat,” menurut kenyataan itu.

Anwar juga dijadual menyampaikan syarahan umum bertajuk “30 Tahun Selepas Gelombang Kebangkitan Asia: Pengajaran Strategik Buat ASEAN” di Universiti Filipina serta mengadakan pertemuan dengan diaspora Malaysia di Filipina. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here