KUALA LUMPUR, 27 Feb – Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) telah melantik lebih 2,000 kakitangan barisan hadapannya sebagai Duta Servis Rapid Bus.

Pengerusi Rapid Bus Datuk Seri Mustafar Ali berkata petugas yang dilantik terdiri daripada Kapten Bas, Penguat kuasa, Pembantu Khidmat Pelanggan dan Penyelaras Trafik yang telah selesai melalui program latihan khas sejak tahun lepas.

Pelantikan tersebut membuktikan komitmen Rapid Bus dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna pengangkutan awam.

“Inisiatif-inisiatif berteraskan pelanggan adalah penting demi mempertingkatkan mutu perkhidmatan bas secara khususnya, dan pengangkutan awam secara amnya. Seluruh kakitangan Rapid Bus berpegang teguh kepada misi meningkatkan kepuasan pelanggan sehingga 83 peratus pada tahun ini, seperti yang telah termaktub dalam Pelan Perniagaan Rapid Bus 2023,” katanya.

“Para pengguna diberi kuasa untuk menilai mutu perkhidmatan yang diberi oleh Kapten Bas di laluan bas yang dinaiki, dengan mengimbas kod QR yang ditampal di setiap bas,” katanya.

Beliau berkata para pengguna yang memerlukan maklumat berkenaan perkhidmatan atau produk Rapid Bus, mereka boleh berjumpa dengan Duta Servis bertugas yang memakai jaket keselamatan yang tertera tulisan ‘ask me’ di hab-hab Rapid Bas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here