JAKARTA, 3 Mac – Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh selepas kebakaran berlaku di stesen simpanan bahan api dikendalikan syarikat tenaga Indonesia, Pertamina di ibu negara.

Kebakaran yang bermula selepas jam 8 malam waktu tempatan (1300 GMT), menyebabkan penduduk berhampiran di kawasan berpenduduk padat menjadi panik, sebahagian daripada mereka melarikan diri dengan barang-barang mereka, rakaman dari stesen penyiar menunjukkan.

Letupan kedengaran, menurut rakaman yang dikongsi di media sosial, namun tidak dapat disahkan oleh Reuters dengan segera.

Pusat panggilan balai bomba utama Jakarta berkata ia telah menghantar 51 unit ke kawasan Plumpang di Jakarta Utara, sambil menyifatkan kebakaran adalah besar.

Satriadi Gunawan, pegawai di balai bomba Jakarta Utara, memberitahu saluran berita Kompas TV bahawa api mula merebak ke rumah-rumah sekitar.

Jurucakap sebuah hospital tempatan berhampiran stesen itu memberitahu Kompas TV bahawa 10 orang telah dibawa masuk, tanpa memberikan butiran mengenai keadaan mereka.

Pertamina dalam satu kenyataan berkata punca masih disiasat dan pemindahan sedang dijalankan.

Stesen minyak itu mempunyai kapasiti lebih 300,000 kilo-liter, menurut kementerian tenaga negara itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here