KUALA LUMPUR, 3 Mac – Kerja menaik taraf perkhidmatan aerotren di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dijangka siap pada 2025.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata dalam tempoh itu, pihaknya menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik dengan kekerapan tinggi untuk melancarkan pergerakan penumpang.

Katanya, kerja naik taraf perlu dilakukan berikutan usia aerotren yang sudah lama.

“Aerotren di KLIA telah mengalami beberapa masalah teknikal sejak kebelakangan ini. Memang tren tersebut perlu dinaik taraf, diubah suai dan ditukar sebab kita kena ingat KLIA dibuka pada 1998. Sehingga ke hari ini, sudah 25 tahun. Sudah tentu aerotren telah pun sampai jangka hayat yang hampir berakhir.

“Memang tidak dinafikan dalam masa dua tiga tahun lalu, aerotren menghadapi pelbagai masalah teknikal. Jadi, pihak MAHB (Malaysia Airports Holdings Bhd) iaitu operator KLIA telah pun membuat keputusan untuk menaik taraf sistem aerotren, malah kontrak telah dianugerahkan.

“Apa yang telah diputuskan ialah (perkhidmatan) aerotren itu akan diberhentikan sekarang, setakat ini. Jadi, kita perlu menghidupkan lebih banyak perkhidmatan ‘shuttle bus’ di antara bangnan satelit dengan bangunan terminal utama di KLIA,” katanya.

Susulan insiden penumpang terpaksa keluar ketika hujan ekoran perkhidmatan aerotren terkandas, Loke kecewa dan kesal dengan apa yang berlaku.

“Kita memang merasakan itu sesuatu yang amat dikesali apabila aerotren terkandas di tengah-tengah landasan bangunan terminal utama ke bangunan satelit. Apabila tren kedua yang dihantar untuk cuba membawa penumpang itu ke terminal seterusnya, ia juga terkandas. Juga tidak beroperasi.

“Maka terpaksa penumpang dikeluarkan di tengah-tengah landasan dan mereka perlu berjalan kaki. Sebab itu di landasan, ditengah-tengah itu tidak ada tangga nak turun. Jadi, bas tidak boleh pergi mengambil (penumpang berkenaan).

“Sebabnya (waktu itu penumpang) di atas landasan. Mereka terpaksa berjalan kaki untuk kembali ke terminal. Itu sesuatu yang memang kita tahu amat menyusahkan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here