CAMERON HIGHLANDS, 6 Mac – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berkenaan kerjasama bagi meningkatkan kecekapan pengurusan alam sekitar dan kelestarian di Cameron Highlands.

MoU itu adalah kerjasama antara Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands dan Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Aerodyne Group serta Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM).

MoU bersama MYSA merupakan inisiatif pemerkasaan pemantauan guna tanah di Cameron Highlands melalui teknologi satelit serta perkongsian data yang efisien antara agensi.

MoU bersama NAHRIM merupakan kerjasama bagi meningkatkan kecekapan pengurusan sedimen melalui penggunaan NAHRIM Environmental Dredging System (NEDS).

Penggunaan sistem itu dijangka dapat memberi impak positif dalam usaha memelihara sumber air di Cameron Highlands.

Sementara itu, MoU bersama Aerodyne pula merupakan usaha menambah baik kaedah pemantauan terhadap pematuhan dalam pelaksanaan projek di kawasan peranginan itu.

Dengan mengoptimumkan teknologi dron, kemajuan serta aspek pematuhan projek pembangunan dan pertanian dapat dikawal selia dengan lebih berkesan.

Solusi berteknologi tinggi merangkumi ruang angkasa, tanah dan air itu diyakini mampu menambah baik kualiti tadbir urus daerah Cameron Highlands selain inisiatif berteknologi tinggi tersebut jauh lebih berkesan dan kos efektif berbanding kaedah konventional.

MoU tersebut ditandatangani oleh Pegawai Daerah Cameron Highlands, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman yang juga merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PKCH, manakala MYSA diwakili Ketua Pengarah MYSA Azlikamil Napiah.

NAHRIM diwakili Timbalan Ketua Pengarah NAHRIM, Mohd Zaki Mat Amin dan Aerodyne diwakili oleh Ketua Pegawai Strategi Aerodyne Group Amir Zakwan Anuar.

Mohd Zaki menyifatkan kerjasama yang dimeterai hari ini akan memberi anjakan paradigma kepada usaha kerajaan negeri dan pihak berkepentingan di Cameron Highlands untuk memastikan kelestarian sumber air di daerah itu.

“Kerjasama ini akan memudahkan usaha memastikan kelestarian di Empangan Sultan Abu Bakar yang bukan sahaja menjana elektrik ke Cameron Highlands tetapi termasuk juga beberapa tempat lain di Pahang sekali gus usaha ini mampu merakyatkan penyelidikan sumber air,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here