ALOR SETAR, 6 Mac – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) berjaya mewujudkan 32 Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) di tujuh negeri yang menerima pakai Akta 672, dalam tempoh 100 hari pertama pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Menterinya Nga Kor Ming berkata tujuh negeri yang terlibat ialah Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perlis serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, dengan Kedah mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 11 DTRC.

“Inisiatif penyediaan DTRC adalah seiring dengan hala tuju Dasar Kebersihan Negara iaitu menyediakan tempat pengumpulan barangan kitar semula di kawasan perumahan, perindustrian, komersial dan institusi, dengan menyasarkan penambahan dua peratus bilangan kemudahan pengurusan sisa kitar semula setiap tahun bagi meningkatkan kecekapan dan pengurusan sisa pepejal,” katanya.

Terdahulu, Nga melawat DTRC di Pasar Awam Kelibang, Kuah di Langkawi hari ini. DTRC itu berjaya mengumpulkan kira-kira 50 tan barangan kitar semula sejak dibuka pada November lepas.

DTRC merupakan inisiatif berkonsepkan mesra pengguna yang memudahkan masyarakat menghantar sisa kitar semula yang telah diasingkan, di samping dapat menggalakkan orang ramai membudayakan amalan kitar semula bagi menyumbang kepada peningkatan kadar kitar semula kebangsaan sebanyak 40 peratus menjelang 2025.

Nga berkata pembinaan DTRC adalah seiring dengan konsep ‘Waste to Gold’ yang membolehkan komuniti menjana pendapatan sampingan daripada aktiviti kitar semula, selain menyokong transformasi ekonomi linear kepada ekonomi kitaran dalam pengurusan sisa pepejal yang dapat mengurangkan kebergantungan kepada sumber baharu dalam menghasilkan produk.

Beliau berkata KPKT melalui SWCorp berhasrat untuk terus menambahkan bilangan DTRC dari semasa ke semasa bagi merancakkan aktiviti kitar semula sekali gus akan menyumbang kepada peningkatan kadar kitar semula kebangsaan.

“Kewujudan DTRC akan mendorong peningkatan permintaan dan nilai pasaran barangan kitar semula. Ini secara tidak langsung menyumbang kepada pertumbuhan industri kitar semula di Malaysia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here