KUALA LUMPUR, 6 Mac – Citaglobal Bhd, dahulunya dikenali sebagai WZ Satu Bhd, berjaya memperoleh kontrak bernilai RM200 juta daripada Mutiara Perlis Sdn Bhd untuk membangunkan projek Jeti Bersepadu Sanglang (Projek Sanglang) di Perlis.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Citaglobal berkata kontrak itu akan dilaksanakan oleh unit milik penuh Citaglobal Engineering Services Sdn Bhd, yang dilantik sebagai kontraktor kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC).

Citaglobal berkata perolehan nilai kontrak sedia ada kumpulan itu akan meningkat kepada RM933.2 juta melalui kontrak yang diraih itu berbanding RM733.2 juta sebelum ini.

Menurut syarikat itu, pembangunan projek Sanglang terbahagi kepada empat fasa iaitu Fasa 1A, Fasa 1B, Fasa 2 dan Fasa 3.

Nilai kontrak Fasa 1A ialah RM200 juta, manakala nilai kontrak untuk fasa-fasa lain masih belum ditentukan.

“Citaglobal akan terlebih dahulu memuktamadkan tawaran projek ini bagi melaksanakan Fasa 1A,” katanya, sambil menambah bahawa projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan yang disatukan, pendapatan sesaham dan aset bersih kumpulan itu.

Projek Sanglang dibangunkan di bawah Koridor Maritim Perlis, yang bertujuan untuk memudahkan pembangunan negeri dari segi logistik, pelancongan, akuakultur dan perikanan.

Projek itu akan menyediakan kemudahan jeti untuk kapal dagang, kapal pesiaran dan kapal layar mewah, bot ikan laut dalam, kapal minyak dan gas untuk berlabuh, serta menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih bagi kapal dagang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here