ROMPIN, 6 Mac – Kerajaan Pahang akan memberikan bantuan wang ihsan kepada ketua isi rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir baru-baru ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata kerajaan negeri akan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) pemberian bantuan wang ihsan sebelum ini, seperti diberikan kepada mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan jumlah bantuan tersebut.

Selain itu, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri akan menggerakkan pasukan sukarelawan untuk membantu kerja pembersihan sebaik sahaja banjir surut.

“Saya berharap semua mangsa banjir dapat mematuhi arahan pihak berkuasa, sama ada disuruh berpindah atau jika belum dibenarkan pulang ke rumah lagi atas faktor keselamatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Beliau juga memaklumkan kerajaan negeri akan membuat permohonan supaya sebuah jambatan kekal dibina bagi menggantikan jalan yang terputus di jalan utama Felda Selancar di sini, akibat limpahan air deras ekoran hujan lebat berterusan pada 1 Mac lepas.

“Saya telah berbincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) semasa tinjauan semalam, dan mereka mencadangkan sebuah jambatan dibina berbanding jalan baharu kerana risiko kemungkinan jalan putus boleh berulang (jika bencana serupa berlaku),” katanya.

Selain itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM200,000 untuk membina jalan sementara ke sebuah kilang sawit di Felda Selancar 2A yang turut rosak akibat banjir, bagi memastikan urusan penghantaran buah sawit oleh penduduk, tidak terjejas.

Wan Rosdy berkata JKR daerah juga sedang membuat penilaian nilai kerosakan akibat banjir yang berlaku sejak lima hari lepas.

Selain Rompin, daerah yang turut terkesan banjir ialah Raub, Maran, Jerantut, Pekan, Bera dan Temerloh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here