PARIS, 8 Mac – Lebih sejuta penunjuk perasaan berarak di bandar dan pekan di seluruh Perancis semalam, dalam pusingan baharu bantahan serta mogok terhadap rancangan kerajaan untuk menaikkan umur persaraan kepada 64 tahun.

Kesatuan sekerja menggesa lebih banyak bantahan hujung minggu diadakan dan memberi amaran keadaan boleh bertambah teruk sekiranya kerajaan tidak menarik balik rancangan itu.

“Sikap berdiam diri Presiden Emmanuel Macron adalah masalah demokrasi serius yang tidak dapat dielakkan dan menimbulkan kemelut lebih teruk,” menurut kesatuan itu sambil menggesa pertemuan segera dengan pihak berkuasa.

Difahamkan, rang undang-undang (RUU) itu sedang dibahaskan di Dewan Negara minggu ini.

Pindaan itu akan meningkatkan umur pencen minimum daripada 62 kepada 64 tahun dan memerlukan 43 tahun bekerja menjelang 2030 untuk memperoleh pencen penuh.

Kerajaan berhujah bahawa sistem sedia ada dijangka mengalami defisit dalam tempoh sedekad apabila penduduk Perancis semakin tua dan jangka hayat semakin panjang.

Menurut Ketua Polis Paris, Laurent Nunez, seramai 43 orang ditahan dalam perarakan membabitkan 81,000 peserta, manakala Kementerian Dalam Negeri berkata, hampir 1.3 juta melakukan demonstrasi di sekitar Perancis.

Bagaimanapun, Kesatuan CGT meletakkan bilangan penunjuk perasaan di Paris pada 700,000 orang dan dianggarkan 3.5 juta di seluruh negara.

Dalam pada itu, kesatuan turut mengugut untuk merencatkan ekonomi Perancis dengan pemberhentian kerja merentasi pelbagai sektor, yang paling ketara adalah mogok terbuka pihak berkuasa kereta api nasional SNCF.

Beberapa kesatuan sekerja turut menggesa mogok terbuka dalam sektor daripada kilang penapisan dan depoh minyak kepada kemudahan elektrik dan gas.

Susulan itu, semua penghantaran minyak di negara itu dihentikan di kilang penapisan Kumpulan TotalEnergies, Esso-ExxonMobil dan Petroineos, menurut CGT.

Selain itu, menurut Kementerian Pendidikan, kira-kira satu pertiga daripada guru mogok di seluruh negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here