KUALA LUMPUR, 8 Mac – Kerajaan Perpaduan telah meluluskan dasar pindaan terhadap tiga akta berkaitan jenayah seksual kanak-kanak bagi memastikan keadilan kepada mangsa dan saksi kanak-kanak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ia melibatkan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), Akta Keterangan Saksi Kanak- Kanak 2007 (Akta 676) dan Akta Keterangan 1950 (Akta 56) yang diluluskan pada 24 Feb lepas.

Pindaan itu dilakukan menerusi dua fasa dengan fasa pertama melibatkan tiga cadangan pindaan dilakukan pada sidang kali ini, manakala fasa kedua dilaksanakan pada sidang parlimen akan datang.

“Antara cadangan pindaan yang akan dibuat adalah memperkenalkan langkah tambahan mesra kanak-kanak untuk melindungi mangsa kanak-kanak, mewujudkan kesalahan-kesalahan baharu dan memperuntukkan pampasan kepada mangsa kanak-kanak.

“Pindaan perundangan yang bakal dilaksanakan ini merupakan perubahan positif kepada sistem keadilan jenayah terhadap kanak-kanak di Malaysia dan ia juga menunjukkan komitmen kerajaan untuk sentiasa terbuka ke arah pembaharuan dan penambahbaikan sistem perundangan dan keadilan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berharap reformasi tersebut dapat membantu mangsa atau saksi kanak-kanak daripada mengalami trauma berpanjangan akibat terpaksa melalui proses perbicaraan berpanjangan, berulang-ulang dan sistem kehakiman yang bersifat tidak mesra kanak-kanak

Di samping itu, beliau berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri juga sedang melaksanakan kajian untuk menggubal Rang Undang-Undang Pembelaan Awam bagi menawarkan perkhidmatan bantuan guaman dalam kes jenayah secara holistik.

Katanya, ia bertujuan memberikan peluang kepada semua terutamanya golongan kurang berkemampuan untuk mendapat akses kepada keadilan.

Azalina berkata Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) telah memberikan perkhidmatan bantuan guaman jenayah kepada 657,057 orang dari 2020 hingga 2022.

“Ini bermakna secara purata rakyat Malaysia dan bukan warganegara di bawah umur 18 tahun diberi akses kepada keadilan pada setiap tahun sebanyak 219, 019 orang. Daripada jumlah ini, perkhidmatan yang paling banyak diberikan oleh YBGK adalah semasa peringkat reman iaitu sebanyak 53.1 peratus daripada keseluruhan bilangan perkhidmatan YBGK,” katanya.

YBGK adalah sebuah badan yang menyediakan bantuan guaman kepada semua kes jenayah kecuali yang membawa hukuman mati kepada warganegara dan bukan warganegara di bawah umur 18 tahun semasa tangkapan dibuat, reman, permohonan ikat jamin, pengurangan hukuman (mitigasi), perbicaraan dan rayuan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here